Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPhang Nga, Thailand– Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara (SUTERA) 2025 berjaya menghimpunkan para sarjana dan pencinta ilmu dalam memperkukuh jalinan akademik dan memartabatkan khazanah sastera, bahasa dan budaya nusantara di peringkat antarabangsa.
Seminar ini berlangsung dengan meriah pada 7 hingga 8 Ogos 2025 di Hotel Le Erewan, Phang Nga, Thailand dengan pelibatan sebanyak 82 orang pembentang dari lima buah negara serantau, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam.
SUTERA 2025 dianjurkan secara dwitahunan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Sekolah Fahad Wittayathan, Phang Nga, Thailand.
Selain menjadi wadah perkongsian ilmu, antara objektif utama seminar termasuklah menyediakan platform perbincangan antara ahli akademik dan profesional dari pelbagai bidang untuk berkongsi kajian, inovasi serta pengalaman mengenai cabaran dan peluang dalam melestarikan budaya nusantara pada era moden.
Selain itu, penganjuran seminar ini turut bertujuan untuk menggalakkan pemahaman rentas disiplin dengan menggabungkan elemen budaya dan ilmu sains untuk merangsang kreativiti, keterbukaan dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.
Seminar ini juga membuka ruang untuk kajian lanjut mengenai peranan dan penerapan budaya serta bahasa dalam bidang teknologi dan inovasi, seperti pengkomputeran bahasa, digital dan pemuliharaan warisan melalui aplikasi teknologi canggih.
Pembentangan kertas kerja oleh pembentang merangkumi bidang sastera, bahasa dan budaya menawarkan perspektif baharu terhadap cabaran dan peluang dalam memartabatkan warisan nusantara pada era globalisasi.
SUTERA 2025 turut menampilkan lima pengucap utama dari pelbagai bidang, iaitu YBhg. Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hassan bin Said, Pro-Canselor, Universiti Teknologi MARA (bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik [STEM]); YBhg. SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad bin Haji Salleh (bidang sastera); YBrs. Dr. Junaini binti Kasdan, Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (bidang bahasa); YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad bin Mohd Noor Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (bidang budaya I) serta YBrs. Prof. Dr. Muhammadzakee Cheha, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Akademik), Universiti Fatoni, Thailand (bidang budaya II).

Acara perasmian seminar yang diadakan dalam Malam Adikara SUTERA 2025 disempurnakan oleh YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP dan turut dihadiri oleh YBrs. Encik Ruslan Jehmi, Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Phang Nga, Thailand; YBrs. Prof. Madya Dr. Mohammad Rezal Hamzah, Dekan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, UniMAP dan YBrs. Prof. Madya Dr. Asyaari Muhammad, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

SUTERA 2025 diharap akan terus menjadi platform berprestij dalam memacu kerjasama serantau dan melahirkan idea-idea segar untuk memperkukuh peranan sastera, bahasa dan budaya bagi membina masyarakat nusantara yang beridentiti, berilmu dan berdaya saing di pentas dunia.