Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 22:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penganjuran Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH) 2025 di Hotel Grand Darul Makmur bermula 18 hingga 19 Ogos 2025 membugar semula usaha pemartabatan tulisan Jawi di negeri Pahang selain membincangkan isu semasa yang berkaitan dengannya secara ilmiah.

Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, inisiatif tersebut lahir daripada hasrat murni semua pihak untuk mengangkat martabat tulisan Jawi yang menjadi suluh ilmu dan tonggak budaya bangsa Melayu sejak sekian lama.

“Usaha ini sejajar dengan komitmen berterusan yang telah disemai oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang sentiasa memberikan perhatian khusus terhadap pemerkasaan Jawi dan meletakkannya di persada utama negara,” katanya ketika berucap dalam konvensyen itu pagi tadi.

Jelas beliau, tulisan Jawi bukan sekadar huruf yang terlukis, tetapi warisan roh dan jati diri yang terpahat sebagai khazanah intelektual dalam sejarah yang panjang bagi peradaban bangsa Melayu.

Mengulas tentang tema konvensyen, menurut beliau,

Jawi Dimartabat, Warisan Diangkat” pada kali ini, beliau menegaskan bahawa tema tersebut bukan bersifat sloganis, sebaliknya pembawaannya memberikan makna yang besar dan signifikan.

Konvensyen ini bukan sekadar himpunan ilmiah, tetapi suatu manifetasi cinta terhadap bahasa, tulisan Jawi dan warisan bangsa yang sebenarnya membentuk jati diri umat Melayu sejak berzaman.

Beliau menzahirkan harapan agar konvensyen berkenaan bakal menyatukan tekad semua pihak untuk melestarikan peradaban Melayu serta dapat diteruskan pelaksanaannya pada masa hadapan.

Tegas beliau lagi,

Warisan tulisan Jawi ini merupakan satu amanah dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara, menghidupkan dan mewariskannya kepada generasi akan datang.

Selain itu, beliau menambah bahawa perasmian penutup konvensyen tersebut turut menyaksikan pelancaran Institut Jawi UnIPSAS, iaitu penubuhan suatu entiti khusus yang menjadi pusat rujukan kajian dan pemerkasaan tulisan Jawi serta pengajian kitab turath di negeri Pahang.

“Dengan tertubuhnya Institut Jawi UnIPSAS, segala inisiatif ini diharapkan bukan sahaja memberikan manfaat bagi warga universiti, bahkan juga kepada sekolah, masyarakat umum dan dunia akademik,” katanya.

Ujar beliau, antara kepakaran yang dimiliki oleh UnIPSAS termasuklah bidang tulisan Jawi memandangkan institusi ini memiliki barisan munsyi lantikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berperanan penting dalam pengurusan penjawian papan tanda di seluruh negeri.

Selain itu, bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan UnIPSAS sejak tahun 1996, beliau berkata pihaknya kini berada dalam fasa akhir bagi proses penubuhan universiti al-Quran atas titah Sultan Pahang menjelang awal tahun 2026.

Sementara itu, INJAH 2025 berjaya menghimpunkan lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada ilmuwan, munsyi, pensyarah, penyelidik, penulis, penggiat seni khat dan pelajar dari pelbagai negara, termasuk pakar antarabangsa.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi