Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pengetahuan terhadap sistem ejaan Jawi Tradisi merupakan suatu keperluan yang signifikan serta memainkan peranan yang besar kepada para penyelidik dalam pengkajian artifak dan manuskrip di Nusantara.
Kurator Pusat Penyelidikan Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR), YBrs. Encik Amru Khalid Sazali berkata, keperluan penguasaan sistem ejaan Jawi Tradisi penting untuk memahami ejaan yang terdapat dalam khazanah tersebut secara kontekstual.
“Jawi Tradisi lebih unik serta memerlukan kreativiti dan kepintaran yang khusus untuk memahami konteks yang disampaikan oleh penulis kitab dan manuskrip lampau,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Peranan Jawi Tradisi dalam Pengkajian Artifak Melayu Islam: Beberapa Kajian Kes” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur pada pagi tadi.
Menurut beliau, Jawi Tradisi merupakan suatu disiplin ilmu yang sudah lengkap kerana diasaskan dengan tradisi intelektual Islam menerusi mabadi’ al-asyrah (sepuluh prinsip asas ilmu).
Beliau turut menegaskan bahawa Jawi Tradisi wajar diangkat, khususnya bagi membiasakan para pengkaji yang mahu memahami khazanah manuskrip tulisan Jawi lampau dan bukannya ditinggalkan.
“Permasalahan pengkajian artifak berlaku apabila penyelidik tidak mahir membaca Jawi Tradisi dan bahasa Arab menyebabkan timbul kesilapan dalam pembacaan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan bahawa sistem ejaan Jawi Baharu menjadi medium terbaik pembelajaran di sekolah kerana pelajar sudah terbiasa dengan huruf Latin.
Malah, pada abad ke-14, penggunaan tulisan Jawi sudah tersusun jelas, mempunyai kosa kata yang lengkap, cara penyusunannya menelusuri bahasa Melayu sedia ada, serta diperkaya dengan istilah baharu hasil kedatangan agama Islam.
Menyentuh polemik tentang sistem ejaan Jawi yang dianggap tidak konsisten oleh para orientalis, beliau menjelaskan bahawa keadaan itu bukan suatu perkara yang janggal kerana tulisan Jawi digunakan secara meluas di alam Melayu dengan pelbagai dialek dan sebutan yang berbeza.
Menurut beliau, pada abad ke-15 dan abad ke-16, proses islamisasi bahasa Melayu berlaku secara agresif apabila banyak ulama mula muncul menyampaikan dakwah dan agama Islam dalam tulisan Jawi pada kurun tersebut.
Kata beliau, bahasa Islam merupakan bahasa yang diisi dengan makna Islam bersumberkan wahyu seperti bahasa Arab, Parsi, Turki, Urdu dan Jawi.
“Islamisasi ilmu melalui islamisasi bahasa telah membebaskan akal daripada bahasa atau isitilah yang berlawanan dengan Islam,” ujarnya.
“Pandangan alam kita semakin jelas dan kefahaman yang betul terpancar terhadap perkara yang diajar dalam Islam dan wahyu,” tambahnya lagi.
Lantaran itu, kesan islamisasi bahasa telah membawa kepada peminjaman dan serapan kata daripada bahasa Arab untuk menyampaikan makna istilah yang tepat, khususnya dalam ilmu kalam, tasawuf dan metafizik.
“Sesetengah istilah juga diislamkan dengan cara mengosongkan makna yang asal dan kemudian mengisi makna yang baharu daripada Islam seperti perkataan sembahyang dan puasa,” katanya.
Beliau menambah, Jawi bukan sekadar aksara yang membentuk perkataan, tetapi juga mempunyai struktur yang melicinkan penyampaian makna Islam daripada wahyu kepada masyarakat Melayu.
“Apabila ulama dari Tanah Arab, khususnya Yaman datang ke Alam Melayu, mereka mempelajari satu demi satu kaedah bagi membentuk tulisan Jawi sehingga menjadi suatu bahasa yang mampu menzahirkan makna wahyu supaya sampai ke dalam hati masyarakat tempatan,” jelasnya.