Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Tulisan Jawi kontemporari sering berhadapan dengan pelbagai isu yang menjadi polemik dalam usaha pemartabatannya, khususnya pertembungan antara ejaan Jawi klasik dengan Jawi moden, kerelevanan serta pengantarabangsaannya.

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz menegaskan bahawa ejaan Jawi Za’ba (Jawi moden) merupakan penambahbaikan daripada ejaan Jawi klasik, manakala ejaan Jawi pada masa ini pula disempurnakan daripada kaedah ejaan Jawi Za’ba.

“Penambahbaikan sistem ejaan berlaku sesuai dengan perkembangan bahasa kerana menurut ilmu linguistik, bahasa itu sendiri bersifat berubah-ubah,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Isu dalam Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Tulisan Jawi Kontemporari” dalam Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur semalam.

“Bahasa yang statik, tidak mahu meminjam daripada bahasa lain serta tidak mengikut kehendak masyarakat penuturnya lazimnya akan mati,” tambahnya.

Menurut beliau, ejaan Jawi Za’ba ialah sistem ejaan yang berdasarkan kebiasaan penulis dan Za’ba cuba mencipta hukum dan peraturan berkaitan dengan tulisan Jawi.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Za’ba sendiri berhadapan dengan kekeliruan kerana wujud pelbagai variasi ejaan Jawi yang digunakan oleh masyarakat secara meluas pada ketika itu.

Malah, ujar beliau, dalam mukadimah Daftar Ejaan Melayu, Za’ba turut mengakui bahawa asas ejaan kebiasaan mengalami perbezaan yang ketara dalam kalangan penulis kerana terdapat sebahagian daripada mereka masih mengekalkan Jawi klasik dan sebahagian lagi sudah beralih kepada Jawi moden.

“Hal kebiasaan ini menyebabkan Za’ba meminta generasi akan datang mengadakan mesyuarat dan memilih ejaan Jawi yang dikehendaki oleh kebanyakan pengguna tulisan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, Za’ba telah membuat kajian selama lebih 40 tahun terhadap penulisan guru dan penulis Melayu untuk menyelami serta memahami sistem ejaan yang digunakan ketika itu.

“Kita berusaha membuat perubahan secara berperingkat dalam sistem ejaan Jawi agar menepati tradisi keilmuan.

“Banyak perubahan sebenarnya yang dilakukan supaya dapat meraikan semua generasi sama ada lama, baharu dan akan datang,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa isu kerelevanan tulisan Jawi boleh ditanggapi menerusi budaya, warisan, jati diri, perpaduan dan keilmuan.

Pengiktirafan tulisan Rumi sebagai tulisan utama bahasa kebangsaan tidak menafikan kedudukan tulisan Jawi kerana Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 tidak menghalang penggunaannya bagi bahasa kebangsaan.

“Hal ini bermakna tulisan Jawi masih boleh digunakan bagi maksud urusan rasmi dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerelevanan tulisan Jawi dapat dilihat menerusi pengisytiharannya sebagai Warisan Kebangsaan Malaysia pada tahun 2009, selain percetakannya secara meluas pada wang kertas, papan tanda, logo rasmi, jata negara, kepala surat rasmi, setem dan bangunan kerajaan.

Malah, Dr. Adi menekankan bahawa tulisan Jawi mampu menjadi alat perpaduan, terutama orang Melayu kerana isu berkaitan dengannya yang pernah timbul sebelum ini mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin Melayu walaupun berbeza fahaman politik.

Bagi memastikan tulisan Jawi terus relevan, beliau turut mencadangkan agar tulisan Jawi digunakan pada nama orang Islam dalam kad pengenalan dan sijil kelahiran, nama kementerian dan jabatan kerajaan pada semua tempat, duit syiling, di samping peruntukan khas bagi penyelidikan tulisan Jawi serta kempen kesedaran.

Mengulas tentang isu pengantarabangsaan tulisan Jawi, beliau menyatakan bahawa kajian terhadap tiga buah kitab yang berbeza negeri, iaitu Munyat al-Musalli (Patani), Hidayat al-Salikin (Palembang) dan Sabil al-Muhtadin (Banjarmasin) mendapati terdapat persamaan ejaan, sekali gus menunjukkan ada kesinambungannya dengan ejaan Jawi moden.

“Ejaan Jawi terkini bukan sahaja merujuk pedoman Za’ba, tetapi juga berpandukan pada kitab klasik.

“Sistem ejaan Jawi bagi bahasa Melayu di negara serantau dan peringkat antarabangsa boleh diselaraskan dan perlu ada usaha ke arah itu,” jelasnya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi