Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Polemik berpanjangan antara sistem ejaan Jawi klasik dengan Jawi moden yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu dihentikan segera kerana polemik tersebut merugikan semua pihak dan wajar ditangani dengan semangat saling memahami.

Munsyi Dewan (Jawi), Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Asmadi Abdul Rahman menganggap bahawa mereka yang melemparkan kritikan terhadap Jawi moden sebenarnya kurang memahami justifikasi keperluannya ketika ini.

“Kita juga perlu memahami mereka, begitu juga sebaliknya,” katanya dalam forum “Pemerkasaan Penggunaan Tulisan Jawi di Malaysia: Peranan dan Cabaran Munsyi Dewan (Jawi)” bersempena dengan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

“Saya sendiri mempelajari kedua-dua sistem ejaan Jawi ini dan tidak nampak keadaan tersebut sebagai satu isu yang besar,” tegasnya.

Menurut beliau, DBP mempunyai asas kukuh serta telah memainkan peranan yang betul dalam usaha memperkenalkan pedoman ejaan Jawi moden, sejajar dengan perkembangan bahasa yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Ujarnya,

Kita perlu ingat apabila kerajaan menubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) mula dikuatkasakan, DBP turut mengeluarkan pekeliling yang jelas bahawa tulisan Jawi hendaklah merujuk Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (PEJYD).

Tidak dapat dinafikan bahawa pekeliling tersebut menjadi arahan dan punca kuasa yang menyebabkan kita mesti merujuk DBP sebagai rujukan utama tulisan Jawi di Malaysia untuk pembelajaran di sekolah dan penulisan.

Selain itu, beliau menyifatkan penubuhan Akademi Jawi Malaysia sebagai langkah proaktif dan positif kerana turut memperjuangkan khazanah Jawi klasik.

Beliau menyatakan bahawa tulisan Jawi klasik kekal penting dan sesuai bagi membantu kegiatan penyelidikan di muzium.

Tambah beliau, usaha menghidupkan semula Jawi klasik tidak perlu dijadikan alasan untuk mengkritik pemerkasaan ejaan Jawi moden kerana tindakan berkenaan hanya membuang masa, selain kuasa penetapan ejaan Jawi rasmi berada di bawah DBP.

Bahkan, beliau menjelaskan bahawa mana-mana pihak juga tidak pernah menghalang usaha menghidupkan semula Jawi daripada kitab-kitab lama.

Meskipun terdapat beberapa perkara yang menimbulkan perbezaan pandangan dalam tulisan Jawi, semua pihak digesa agar bersetuju untuk tidak bersetuju.

Perkara yang penting di Pahang ini adalah kita perlu terus memartabatkan tulisan Jawi.

Saya yakin jika usaha ini berterusan, dalam tempoh lima tahun akan datang, kita mampu melaksanakan penguatkuasaan tulisan Jawi seperti yang berlaku di Brunei.

Menjelaskan usaha berterusan Jawi di negeri berkenaan, beliau berkata pemugaran tulisan Jawi dilakukan setiap tahun bagi memastikan kualiti penguasaan Munsyi Dewan (Jawi) sentiasa terpelihara.

“Apabila Tuanku Sultan Pahang bertitah supaya memperkasakan tulisan Jawi pada tahun 2020, secara automatik semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu merujuk ejaan Jawi yang betul untuk mendapat kebenaran bagi menaikkan papan tanda,” tambah beliau.

“Walaupun pada peringkat awal terdapat banyak kesalahan ejaan, kita memberikan kelonggaran sebagai pendedahan, tetapi selepas lima atau enam tahun, barulah masuk ke fasa pemulihan yang perlu mengikut ejaan Jawi DBP,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa usaha pemerkasaan tulisan Jawi di Pahang berjalan lancar hasil dukungan besar Kesultanan Pahang tanpa sebarang halangan dan gangguan.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi