Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Munsyi Jawi bukan sekadar sebagai pakar rujuk dalam kaedah penulisan Jawi, malah turut menjadi teladan kepada masyarakat menerusi pengamalannya dalam kehidupan seharian.

Munsyi DBP (Jawi), YBrs. Profesor Madya Dr. Abdullah Hamzah berkata, berdasarkan rekod terkini, lebih 150 orang Munsyi DBP (Jawi) di seluruh seluruh negara dan jumlah ini disifatkan cukup besar.

Menurut beliau, golongan munsyi seharusnya meningkatkan semangat dan keazaman dalam menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi di pelbagai platform.

“Sebagai Munsyi Jawi, kita perlu menyumbang tenaga di tempat kita bertugas,” katanya dalam forum “Pemerkasaan Penggunaan Tulisan Jawi di Malaysia: Peranan dan Cabaran Munsyi Dewan (Jawi)” bersempena dengan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa cabaran utama hala tuju pendidikan Jawi ketika ini ialah tiada kesinambungan selepas pelajar menamatkan persekolahan kerana tulisan Jawi masih terbatas kepada buku teks.

“Kita perlu mendokumentasikan serta memperbanyakkan bahan dalam tulisan Jawi,” ujarnya.

“Perkembangan mutakhir ini menunjukkan bahawa kita sudah mengorak langkah, namun perlu lebih agresif untuk bergerak ke hadapan,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa masyarakat dilihat masih lagi terperangkap apabila melihat tulisan Jawi sebagai tulisan warisan sejarah.

Kata beliau, tulisan Jawi perlu dijadikan sebagai tulisan harian dalam media sosial dan platform digital agar lebih dekat dengan generasi muda dan bukan hanya tertumpu kepada buku teks dan wacana ilmiah tentang sejarah.

“Kita boleh melibatkan selebriti dan memberikan pendedahan kepada mereka tentang Jawi untuk menghasilkan kandungan yang mengerakkan arus dalam kalangan anak-anak muda melihat keindahan Jawi.

“Malah, tulisan Jawi juga harus digarap dalam medium seperti TikTok supaya dapat diakses di mana-mana,” katanya.

Begitu juga bahan bacaan dan papan tanda perlu dipersembahkan dalam tulisan Jawi yang indah bagi memupuk minat dan memudahkan penerimaan golongan muda terhadap tulisan itu.

Menyedari akan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berkata semua munsyi perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengisian data raya tentang tulisan Jawi di Internet.

Ujar beliau, perkara itu penting bagi memastikan lebih banyak penulisan Jawi dimuat naik di laman sesawang dengan kaedah ejaan yang betul.

Apabila data raya berkaitan dengan penulisan Jawi yang lengkap, baik dan betul dalam talian, aplikasi kecerdasan buatan (AI) akan menjadikannya rujukan, lantas memudahkan penggunaannya dalam kehidupan seharian pada masa hadapan.

Selain itu, beliau turut menekankan bahwa peranan guru, khususnya guru Pendidikan Islam dalam usaha memperkasakan tulisan Jawi menerusi penulisan Rancangan Pengajaran Harian, pemberian ganjaran dan markah tambahan untuk menggalakkan pelajar menulis Jawi.

“Tulisan Jawi melambangkan identiti bangsa dan guru yang mengajar Jawi perlu mengetahui dan pandai menulis Jawi,” tegasnya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi