Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching-Bidang penterjemahan sejak sekian lama telah menjadi jambatan antara bahasa, budaya dan tamadun manusia. Bidang ini tidak pernah terbatas pada pemindahan makna semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai wahana pemeliharaan identiti, pewarisan ilmu dan penghubung peradaban. Justeru, penganjuran Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 (PPA-20) di Kuching, Sarawak pada 19 hingga 21 Ogos 2025, menjadi sebuah peristiwa bersejarah yang memperkukuh kedudukan Malaysia, khususnya Sarawak di pentas dunia.

Persidangan yang bertemakan “Pemeliharaan Warisan melalui Terjemahan” ini berjaya menghimpunkan para sarjana, penterjemah profesional, penggiat bahasa, penggubal dasar dan mahasiswa dari pelbagai negara. Hal ini secara tidak langsung menjadikan PPA-20 sebagai medan ilmu yang subur dengan gagasan, perdebatan dan prospek baharu.

Majlis perasmian PPA-20 telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Mohammad Razi Bin Sitam, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, mewakili YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, Premier Sarawak. Dalam amanatnya, Premier Sarawak menegaskan bahawa penterjemahan tidak harus dipandang sebagai bidang pinggiran, sebaliknya bidang ini merupakan jambatan yang menyatukan tamadun, memperluas akses terhadap ilmu, serta memelihara warisan budaya.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya peranan penterjemahan di Sarawak, iaitu sebuah negeri yang kaya dengan lebih 30 kumpulan etnik, yang mempunyai bahasa dan dialeknya yang tersendiri.

Menurut beliau,

Usaha mendokumentasi dan menterjemahkan bahasa-bahasa ini merupakan satu mekanisme penting dalam memastikan komunikasi berkesan antara komuniti. Di samping itu, ia juga penting dalam memelihara khazanah linguistik daripada pupus dilanda arus pemodenan.

Selain itu, Premier Sarawak turut menegaskan bahawa penterjemahan adalah sebahagian daripada infrastruktur intelektual yang mampu menyokong aspirasi Sarawak dalam membangunkan ekonomi digital dan industri kreatif. Dalam konteks globalisasi, penterjemahan bukan sahaja berkaitan dengan teks ilmiah atau sastera, tetapi juga meliputi dokumen teknikal, kandungan digital, undang-undang serta komunikasi rentas budaya.

Di samping itu, inisiatif penerbangan serantau AirBorneo yang bakal menghubungkan Sarawak dengan pelbagai destinasi antarabangsa, sekali gus menjadikan penterjemahan berkualiti sebagai instrumen diplomasi silang budaya yang amat penting. Terjemahan yang sensitif terhadap budaya bukan sahaja memudahkan interaksi antarabangsa, tetapi juga berpotensi memberikan pengalaman budaya bertaraf dunia yang mampu mengangkat imej Sarawak di mata dunia.

Premier Sarawak mengakhiri ucaptamanya dengan harapan agar persidangan ini menjadi wadah dalam melahirkan lebih banyak penterjemah profesional dari Sarawak serta berupaya bersaing pada peringkat global. Hal ini selari dengan usaha kerajaan Sarawak yang mahu mengarusperdanakan identiti budaya negeri ini dalam landskap antarabangsa.

Sebelum ucaptama Premier Sarawak, Naib Canselor, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), iaitu YBrs. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, turut membentangkan kertas dasar bertajuk “Peranan Strategik UNIMAS dalam Penterjemahan Warisan Borneo: Cabaran dan Prospek”. Beliau menegaskan bahawa kekayaan budaya Borneo berpotensi menarik minat penyelidik dan pelancong dari dalam dan luar negara. Melalui aktiviti penterjemahan, warisan budaya suku etnik di Sarawak dapat didokumentasikan, diterjemahkan dan seterusnya dikomersialkan.

YBrs. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit menekankan peranan teknologi pintar dalam penterjemahan.

Justeru, dalam konteks ini, UNIMAS telah mengambil peranan proaktif untuk mendokumentasi, menterjemah dan melestarikan bahasa serta budaya tempatan. Beliau turut merujuk kejayaan penyelidik UNIMAS yang telah menerbitkan antologi cerita rakyat Bidayuh, Penan dan Iban dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Usaha tersebut diyakini mampu memperkukuh identiti etnik, sekali gus memperkayakan khazanah sastera Borneo.

Selain itu, Naib Canselor UNIMAS turut menekankan peranan teknologi pintar dalam mempercepat kerja penterjemahan, khususnya melalui Sarawak Language Technology (SaLT) Research Group. Inisiatif SaLT ini memberi tumpuan kepada pembangunan model kecerdasan buatan untuk penterjemahan mesin bahasa Iban-Melayu-Inggeris. Di samping itu, UNIMAS juga bercadang melaksanakan pendigitalan manuskrip, rakaman cerita lisan, dan puisi tradisional yang akan disimpan dalam repositori institusi universiti sebagai pusat rujukan warisan Borneo.

Dalam kerangka pengembangan modal insan, beliau mengumumkan rancangan memperkenalkan kursus sijil dan diploma profesional penterjemahan, di samping menggalakkan inisiatif “mentor-mentee” antara penterjemah berpengalaman dan mahasiswa. Program SULAM (Service-Learning Malaysia University for Society) pula akan diperluas bagi membawa mahasiswa mendokumentasikan budaya di rumah panjang dan kampung tradisional. Inisiatif ini penting untuk mendekatkan mahasiswa universiti kepada amalan budaya melalui aktiviti yang dijalankan bersama-sama komuniti setempat.

Berpandukan dua ucapan penting ini, jelas menunjukkan bahawa kesepaduan visi antara kerajaan Sarawak dan UNIMAS, mampu memposisikan penterjemahan sebagai tonggak kelestarian warisan serta pemacu pembangunan. Hal ini bertepatan dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) yang menekankan aspek keterangkuman, inovasi dan kelestarian, di samping menyokong agenda kebangsaan serta antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Dalam PPA-20, terdapat lebih 20 subtema persidangan. Ia meliputi pelbagai aspek seperti pemugaran bahasa peribumi, peranan generasi muda, kecerdasan buatan dalam terjemahan, transliterasi manuskrip, penterjemahan teks agama, budaya popular, kuliner, isu etika, gender dan identiti. Subtema yang luas ini membuktikan bahawa penterjemahan bukan sahaja merentasi bidang linguistik, malah mencakupi teknologi, ekonomi kreatif dan sosiobudaya.

Sepanjang tiga hari berlangsung, PPA-20 menyajikan pelbagai sesi ucapan dasar, plenari, forum dan sidang selari. Antara tokoh penting yang turut serta ialah Dr Hazami Jahari, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam ucapan dasarnya, beliau menekankan bahawa penterjemahan bukan sahaja berperanan sebagai wahana merapatkan tamadun bangsa, malah juga sebagai jambatan ilmu, pemacu diplomasi budaya dan landasan memperkukuh jati diri nasional dalam arus globalisasi.

YBrs. Dr. Hazami Jahari membentangkan kertas dasar tentang usaha DBP dalam memperkukuh aktiviti penterjemahan.

Selain itu, PPA-20 turut menampilkan YBhg. Datu Dr Sanib Said, Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak. Sebagai tokoh sejarah dan budaya, beliau menegaskan pentingnya ketelitian dalam proses transliterasi kerana kesilapan kecil boleh mengubah makna asal. Sebagai contoh, ejaan “Merpati Jepang” sepatutnya ditulis “Marapati Jepang”. Kesalahan sebegini boleh menjejaskan ketepatan filologi dan mengaburkan jejak istilah dalam warisan tulisan Jawi.

Pembentangan selanjutnya oleh YBhg. Datin Kalsom Taib telah mengetengahkan penterjemahan kuliner Melayu. Beliau menekankan bahawa keupayaan menterjemah sukatan seperti “secubit” dan “segenggam”, membawa makna besar dalam usaha mendokumentasikan resipi masakan Melayu lama agar dapat difahami oleh generasi kini dan antarabangsa.

Selain menampilkan pembicara tempatan, PPA-20 turut menampilkan YBrs. Prof. Jorge Díaz Cintas dari University College London yang membincangkan penterjemahan audiovisual sebagai alat keterangkuman budaya. Dalam kertas bertajuk Preserving Culture, Promoting Inclusivity: The Intersection of Heritage and Access Services, beliau menyoroti potensi penterjemahan audiovisual (AVT). Beliau turut menjelaskan bahawa amalan AVT seperti sari kata, deskripsi audio dan bahasa isyarat, bukan sahaja membuka akses kepada golongan kurang upaya, malah memperkayakan pengalaman kolektif khalayak.

Seterusnya, Alison Rodriguez, iaitu Presiden Fédération Internationale des Traducteurs (FIT), membentangkan kertas bertajuk Preservation and Progress: Can both exist in an AI future and is translation the key?. Beliau menekankan bahawa meskipun kecerdasan buatan mampu menyokong usaha pemeliharaan bahasa dan sastera, hanya penterjemahan yang dipimpin manusia dengan panduan etika mampu menjamin masa depan yang inklusif, berakar pada warisan serta membina kemajuan berasaskan kekuatan budaya lalu.

PPA-20 menghimpunkan lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara.

Sepanjang tiga hari berkampung di Kuching, Sarawak, terdapat lebih 100 kertas kerja dibentangkan, meliputi topik teknologi digital, penterjemahan agama, bahasa peribumi, hingga kepada budaya popular seperti sari kata drama Korea dan filem Cina. Diskusi yang pelbagai ini menggambarkan kesuburan bidang penterjemahan sebagai disiplin yang sentiasa berkembang dan relevan dengan perubahan zaman.

Delegasi PPA-20 turut diraikan dalam satu majlis iaitu Malam Aspirasi Warisan yang berlangsung di DBP Cawangan Sarawak. Majlis ini menampilkan persembahan seni tradisional, bacaan puisi dan “bermukun”, di samping sajian makanan Sarawak yang memperkayakan pengalaman tetamu. Acara ini membuktikan bahawa penterjemahan bukan sahaja berperanan di ruang akademik, tetapi turut hidup dalam denyut seni, budaya dan masyarakat.

Acara penutup menyaksikan ucapan penyerahan tuan rumah oleh Dekan, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi yang mewakili Naib Canselor UNIMAS. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan persidangan ini merupakan hasil muafakat semua pihak, merangkumi penganjur, petugas, moderator, pembentang dan peserta yang telah bersama-sama menjayakan PPA-20.

UNIMAS menyerahkan Panji PPA kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tuan rumah PPA-21.

Berpegang kepada pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, beliau menegaskan bahawa kejayaan persidangan ini lahir daripada kerjasama semua pihak. Penterjemahan katanya bukan sekadar mengalih bahasa, tetapi juga pemeliharaan identiti, penyambung warisan dan pemacu ekonomi kreatif. Ilmu pula tidak terbatas di atas kertas, sebaliknya hidup dalam pertemuan, wacana dan persahabatan yang terjalin sepanjang persidangan.

Majlis Penutupan PPA-20 menyaksikan UNIMAS menyerahkan panji PPA-21 kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tuan rumah seterusnya dalam tempoh dua tahun lagi. UKM yang diwakili oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, berhasrat menjadikan PPA-21 sebagai platform yang bukan sahaja meraikan kecemerlangan akademik, tetapi juga mendukung inovasi, kepelbagaian serta kerjasama merentas bahasa dan budaya.

YBrs. Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, mewakili UKM pada Majlis Penutupan PPA-20.

PPA-20 turut melahirkan resolusi yang menegaskan arah tuju bidang penterjemahan pada masa hadapan. Resolusi tersebut menyeru agar penterjemahan terus dimartabatkan sebagai wahana pemeliharaan warisan dan identiti bangsa, khususnya bahasa etnik melalui usaha pendokumentasian, transliterasi serta penerbitan karya klasik. Ia juga menekankan pengintegrasian teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan modal insan, termasuk latihan penterjemah profesional, program mentor–mentee, serta inovasi pendidikan untuk melahirkan generasi baharu yang berdaya saing.

Resolusi ini turut mengangkat agenda pengantarabangsaan karya Malaysia melalui terjemahan ke bahasa utama dunia, memperluas kerjasama strategik dengan penerbit antarabangsa, serta penglibatan aktif dalam pesta buku dan forum global. Pada masa yang sama, penterjemahan diiktiraf sebagai jambatan diplomasi budaya yang memperkukuh kefahaman silang budaya, mengeratkan hubungan antarabangsa dan memperluas keterhubungan serantau selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Dalam bidang kreatif, resolusi turut menggalakkan penterjemah menjadi pencipta makna baharu melalui transcreation iaitu penulisan semula dan pembangunan naratif kreatif dalam bentuk filem, drama, dokumentari dan iklan. Hal ini penting agar warisan budaya bangsa dapat disampaikan secara segar, relevan dan inklusif. Resolusi turut menekankan pentingnya etika, sensitiviti budaya dan tanggungjawab sosial dalam penterjemahan teks yang memberi kesan besar kepada masyarakat.

Resolusi terakhir turut menggesa agar kerajaan, institusi dan penaja menyediakan dana berterusan. Hal ini penting kerana pemeliharaan warisan melalui penterjemahan memerlukan pelaburan strategik jangka panjang yang bernilai tinggi, meskipun tidak menjanjikan keuntungan segera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi