Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Bahasa Melayu sekali lagi dibuktikan sebagai wahana perpaduan apabila sebanyak 30 penulis daripada pelbagai latar belakang dan kaum berhimpun di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3 untuk menjayakan Bengkel Pemerolehan Bahan Bidang Bahasa untuk Penerbitan Majalah, semalam.
Bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan DBP Wilayah Timur. Program tersebut menjadi platform kepada penulis baharu untuk menguasai teknik penulisan rencana yang sesuai diterbitkan dalam majalah terbitan DBP.
Tokoh penulis prolifik, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Abdullah Yusof atau lebih dikenali sebagai Dr. Loh (Pekak), tampil sebagai penceramah undangan yang membimbing bengkel ini.
Beliau menegaskan bahawa penulis perlu menjadi “arkitek” dalam dunia penulisan.
Jika arkitek merancang bangunan dengan pelan dan ukuran, penulis pula merancang pemikiran dengan kata dan wacana. Penulisan bukan sekadar huruf di atas kertas, tetapi amanah yang membawa suara masyarakat.
YBrs. Dr. Abdullah yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan khas untuk pelajar pekak turut berkongsi perjalanan beliau sebagai penulis rencana dalam majalah terbitan DBP serta pengarang buku pendidikan khas. Buku tersebut bukan sekadar naskhah akademik, malah turut menjadi jambatan komunikasi antara dunia senyap dengan dunia bahasa.

Keunikan bengkel ini terserlah apabila peserta daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuklah pesara jururawat, guru, mahasiswa dan profesional terlibat dalam menghasilkan karya dalam bahasa Melayu.
Situasi ini membuktikan bahawa penulisan merupakan wadah universal yang melampaui batas kaum dan latar hidup. Bahasa Melayu menjadi jambatan yang mengikat peserta untuk menyuarakan fikiran melalui penulisan rencana.
Menurut penceramah undangan, penguasaan bahasa bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat, tetapi juga untuk menyatukan masyarakat.
“Bahasa Melayu ialah wahana yang mampu merapatkan jurang dan membina wacana bersama. Penulisan rencana seharusnya mencerminkan nilai keterangkuman itu.
Selain menguasai teknik menulis rencana yang logik, berstruktur dan bernuansa kreatif, peserta turut dibimbing agar menulis dengan inklusif bagi mewakili suara pelbagai lapisan masyarakat.
Penyelaras bengkel, Ustazah Ruzilawati Man yang juga Ketua Biro Penerbitan GEMA berkata, bengkel ini diibaratkan seperti mendirikan sebuah rumah penulisan yang asasnya ialah bahasa dan nilai perpaduan.
Rumah ini akhirnya tidak hanya milik GEMA, tetapi milik masyarakat seluruhnya. Di dalamnya bersemayam nilai perpaduan, adab menulis dan amanah pena yang akan terus hidup pada setiap karya yang lahir. Seperti kata pepatah, pena lebih tajam daripada pedang, namun di Rumah Penulisan, pena adalah batu bata yang menyusun rumah bangsa dan tamadun jiwa.
Peserta bengkel turut diberikan jaminan bahawa karya yang memenuhi kriteria majalah DBP berpeluang untuk diterbitkan. Hal ini sekali gus membuka ruang kepada penulis pelapis untuk menyumbang idea dan pemikiran dalam pembangunan bahasa dan sastera negara.
Melalui bimbingan tokoh penulis dan sokongan DBP, GEMA yakin bahawa Rumah Penulisan yang diwujudkan ini akan terus melahirkan penulis rencana yang berwibawa, menjadikan bahasa Melayu bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai wahana intelektual dan perpaduan bangsa.