Diterbitkan pada 31 Ogos 2025, 18:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kubang Kerian – Sebanyak 30 orang ahli Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) mengikuti bimbingan secara intensif dalam Bengkel Pemerolehan Bahan dalam Bidang Bahasa untuk Penerbitan Majalah yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Kota Bharu, semalam.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah dengan kerjasama GEMA dan DBP Wilayah Timur ini menampilkan YBrs. Dr. Abdullah bin Yusoff atau lebih dikenali sebagai Dr. Loh (Pekak) sebagai pembimbing bersama-sama dengan editor Dewan Bahasa, Puan Siti Zubaidah binti Sekak.

Cuti hujung minggu, 29 Ogos hingga 31 Ogos 2025 dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta untuk mengasah kemahiran penulisan karya agar lebih berimpak. Hasilnya, hampir 28 karya berbentuk rencana berjaya dikumpulkan pada hari terakhir bengkel. Rata-rata peserta menunjukkan keyakinan diri yang semakin baik dalam penulisan berbanding pada hari pertama bengkel bermula.

Menurut seorang daripada peserta yang juga merupakan ahli GEMA, Puan Sabariah binti Yaakub,

Bengkel sebegini merupakan satu wadah yang dapat meningkatkan daya fikir setiap penulis ke arah yang lebih baik dan menjurus terhadap penghasilan karya yang lebih bermutu.

Bagi Puan Hafshah binti Samsuri dari Klang, Selangor, penyertaan beliau didorong oleh impian untuk melihat makalahnya diterbitkan dalam majalah terbitan DBP, iaitu sebuah organisasi penerbitan besar tanah air. Kesungguhannya menyertai bengkel ini terbukti memberikan pengalaman yang amat berharga, khususnya dalam penguasaan teknik penulisan rencana mengikut kehendak editor.

Ketua Biro Penerbitan GEMA merangkap penyelenggara bengkel, Puan Ruzilawati binti Man menzahirkan rasa syukur kerana program berjalan dengan lancar. Beliau sangat teruja melihat komitmen tinggi peserta sepanjang program, malah berharap hasil penulisan mereka akan tersiar di majalah terbitan DBP kelak.

Sementara itu, Puan Wee Soo Lian turut menyifatkan bengkel ini luar biasa, berprestij dan berbeza daripada yang pernah diikutinya sebelum ini. Walaupun karyanya sudah beberapa kali diterbitkan dalam majalah DBP, beliau mengakui penyertaan dalam bengkel sebegini memberikan nilai tambah terhadap kemahiran penulisannya. Malah, beliau semakin yakin dan berazam untuk menghasilkan rencana yang bermakna serta berkualiti.

Rakannya, Puan Lim Su Ni yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan rencana turut teruja kerana dalam tempoh tiga hari sahaja, beliau berjaya menghasilkan sebuah rencana yang berkaitan dengan pergigian. Pengalaman sebagai jururawat pergigian telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk karya yang berpotensi diterbitkan dalam majalah Dewan Kosmik, Dewan Pelajar atau Dewan Budaya, bergantung pada tema dan kesesuaian laras bahasa.

Seorang lagi peserta, Puan Noor Riza binti Mohd Razali yang bertugas sebagai jururawat, mengakui agak sukar menulis dalam masa singkat kerana tugas hariannya lebih banyak menuntut tenaga fizikal. Namun, apabila berjaya menyiapkan sebuah rencana sepanjang bengkel, beliau berharap karyanya memberikan manfaat kepada masyarakat secara umum.

Ketua 1 GEMA, Encik Zainal Abidin bin Muhamad, menegaskan bahawa bengkel ini berjaya mencapai objektif, iaitu para peserta berjaya menghasilkan karya berbentuk rencana bagi penerbitan majalah DBP. Beliau kagum dengan kesungguhan peserta yang tetap bersemangat sepanjang tiga hari bengkel berlangsung. Keyakinan mereka terhadap berpotensi karya yang ditulis untuk diterbitkan dalam majalah DBP semakin kukuh.

Mengulas pencapaian bengkel ini, YBrs. Dr. Abdullah Yusoff berkata,

Hampir 75 peratus peserta berjaya menghasilkan makalah dalam tempoh bengkel berlangsung dan ada yang telah menghantar kepada editor majalah DBP untuk penilaian penerbitan. Hal ini menunjukkan minat yang tinggi oleh peserta dalam menghasilkan makalah yang bermanfaat untuk bacaan umum.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi