Diterbitkan pada 2 September 2025, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Pertemuan Khas Ketua Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) menjadi wadah utama bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama kebahasaan antara tiga negara serumpun, demikian menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Ketua MABBIM Malaysia, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari. 

Beliau berkata, pertemuan ini diadakan susulan Keputusan Umum Forum Ketua MABBIM Kedua Sidang Eksekutif ke-60 MABBIM di Brunei Darussalam pada Mei lalu dengan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Seminar Antarabangsa Kebahasaan MABBIM 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober 2025 di Jakarta, Indonesia.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Ketua MABBIM Malaysia, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.

Jelas beliau,

Selain membincangkan agenda seminar, pertemuan ini juga bertujuan mempertemukan para Menteri yang menaungi MABBIM, sesuatu yang kali terakhir diadakan pada tahun 2006.

Usaha itu disifatkan penting untuk mengukuhkan semangat kebersamaan serta menyelaras peranan MABBIM agar selari dengan cabaran dan perkembangan semasa.

“Pertemuan ini bukan sahaja wadah bagi membincangkan agenda kebahasaan, tetapi juga ruang mempererat hubungan persahabatan antara Malaysia, Indonesia dengan Brunei Darussalam. MABBIM kekal sebagai platform penting dalam memartabatkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di rantau ini,” demikian menurut kesepakatan bersama yang dicapai susulan mesyuarat berkenaan.

MABBIM Malaysia diwakili oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP merangkap Setiausaha MABBIM Malaysia, Encik Mohd Fadzli bin Tajuid serta Penolong Setiausaha MABBIM Malaysia, Puan Nor Atikah binti Buang.

Delegasi Brunei Darussalam diwakili Ketua MABBIM Brunei, Encik Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dan Puan Dayang Hajah Anissa binti Moksin.

Ketua MABBIM Malaysia, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dan Ketua MABBIM Brunei, Encik Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

Delegasi Indonesia yang hadir secara maya pula terdiri daripada Encik Hafidz Muksin, YBrs. Dr. Dora Amalia, YBrs. Puan Meryna Afrila dan YBrs. Puan Tri Indira Satya.

Pertemuan Khas Ketua MABBIM berlangsung di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru selama dua hari mulai 2 September hingga 3 September 2025. 

Sebagai rekod, MABBIM yang dianggotai tiga negara anggota ini sentiasa memastikan manfaat langsung disalurkan kepada masyarakat, khususnya dalam usaha memperkaya, mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu, persuratan dan pengantar yang relevan sepanjang zaman.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi