Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 10 September 2025, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Chong Hwa Kuala Lumpur melakar sejarah apabila berjaya mengekalkan gelaran juara dalam Festival Bahasa dan Sastera 2025 buat kali ketiga berturut-turut dalam pertandingan Koir pada peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi saksi kehebatan SMP Chong Hwa apabila persembahan mereka berjaya memukau hati juri dan penonton yang hadir.

Kemenangan ini membolehkan SMP Chong Hwa membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.00, berserta sijil penghargaan dan buku terbitan DBP.

Naib Johan Pertandingan Koir disandang oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru yang menerima wang tunai sebanyak RM1,500.00, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP, diikuti tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 dan buku terbitan DBP.

Sekolah Menengah Foon Yew Johor Bahru dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan Koir peringkat Kebangsaan sempena Festival Bahasa dan Sastera 2035.

 

Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Koir Peringkat Kebangsaan 2025.

Bagi Pertandingan Deklamasi Sajak, Selles Mietchu Anak Robin dari Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak meraih johan dengan membawa pulang wang tunai sejumlah RM600.00 serta sijil penghargaan, disusuli naib johan milik Adam Chin Lien Jun yang juga dari Sekolah Menengah Jalan Riam, Sarawak dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 serta sijil penghargaan. Tempat ketiga dimenangi oleh Eugenia Everly Emmanuel Lum dari SMP Chong Hwa dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.00 berserta sijil penghargaan.

Sementara itu, Pertandingan Pidato menyaksikan Chua Boon Chun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peir Chih dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan, naib johan dimenangi oleh Crsytal Yap Zi Sing dari SJKC Tsi Sin Tenom, Sabah yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM400.00 berserta sijil penghargaan, manakala tempat ketiga milik Syazyy Ng Yung Kang dari SJKC Yuk Choi Lahad Datu, Sabah yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300.00 berserta sijil penghargaan.

Bagi Kategori Pertandingan Bercerita memperlihatkan Steve Ong Kaa Hao dari SJKC Batu 11, Cheras mengungguli gelaran johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00, diikuti oleh Michelle Liew Xin dari SJKC Kung Ming Beaufort, Sabah di tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM400.00. Tempat ketiga disandang oleh Chen Yu Quinn dari SJKC Kampung Lalang, Kedah yang membawa dengan hadiah wang tunai berjumlah RM300.00.

Majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera 2025 ini turut diserikan dengan persembahan khas daripada Johan Kategori Koir, iaitu SMP Chong Hwa Kuala Lumpur yang mempersembahkan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bunga Melur” dengan penuh harmoni dan bertenaga.

Terdahulu majlis perasmian penutupan ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Yang Berusaha (YBrs.)Encik Abang Haliman Abang Julai. Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBrs. Dato’ Goh Hin San; Ahli Jawatankuasa  Pusat yang mewakili Pengerusi  Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus  Sekolah Cina Malaysia, YBrs. Encik  Tan In Fong; PERSPEKTIF ,YBrs. Encik Lim Chuan Boon, dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan  Pelbagai Kaum(BKPK) YBrs. Puan Aninah Janang.

Persembahan khas daripada Johan Kategori Koir, iaitu SMP Chong Hwa Kuala Lumpur, yang mempersembahkan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bunga Melur” penuh harmoni dan bertenaga.
Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi