Diterbitkan pada 14 September 2025, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara 2025 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu telah menghimpunkan para sarjana, penulis dan budayawan dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia bagi mengangkat bahasa Melayu sebagai wahana persuratan Islam Nusantara.

Sebanyak 34 kertas kerja telah dibentangkan dalam simposium yang meliputi tema berkaitan bahasa, persuratan, pendidikan dan peradaban Islam di Alam Melayu. Ucapan utama telah disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (PERADABAN) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Haji A. Aziz Deraman menerusi kertas yang bertajuk “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Wahana Persuratan Islam Nusantara.”

Dalam ucap utama tersebut, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi wahana peradaban yang mengikat budaya, mengalirkan nilai Islam, dan menjadi asas pengukuhan jati diri bangsa.

Ujar beliau,

Bahasa Melayu adalah wahana dakwah dan penyebaran ilmu. Al-Quran sendiri menegaskan bahawa para rasul diutus dengan bahasa kaumnya. Demikianlah bahasa Melayu menjadi kunci penyebaran Islam di Nusantara.

Beliau turut menyorot sejarah persuratan Islam Nusantara yang berakar daripada tradisi Jawi, kitab agama, dan jaringan pondok serta pesantren sehingga melahirkan tokoh-tokoh besar termasuklah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, Tok Kenali dan Raja Ali Haji.

Menurut beliau, globalisasi teknologi membawa cabaran besar, termasuklah marginalisasi bahasa Melayu di ruang digital, kemerosotan tulisan Jawi, serta kelemahan mendigitalisasi khazanah manuskrip. Walau bagaimanapun, peluang juga terbentang luas. Usaha memperhebat digitalisasi manuskrip, membangunkan portal dalam talian berskala global, memperluaskan pendidikan digital interaktif, serta memperkukuh kerjasama serantau antara negara Nusantara adalah langkah penting bagi menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban.

Sebagai penutup, beliau menyeru agar bahasa Melayu dipertahankan dan diperkasakan dengan penuh kesedaran kolektif. Beliau menegaskan,

Bahasa dan persuratan Islam Nusantara adalah jiwa peradaban kita. Jika mahu melihat masa hadapan umat yang teguh, kita mesti menyemarakkan Bahasa dan persuratan ini dengan cinta, usaha dan kesedaran. Tanpanya, peradaban bangsa akan kehilangan rohnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi