Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSabah – YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin menekankan tentang kepentingan tiponim atau penamaan tempat yang menjadi cerminan identiti dan kearifan masyarakat.
Beliau yang membentangkan kertas kerjanya dalam Seminar Kearifan Tempatan Borneo anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang berlangsung selama dua hari bermula pada 10 September hingga 11 September 2025.
Beliau menjelaskan bahawa tiponim atau penamaan tempat berperanan besar dalam menggambarkan sejarah, sosiobudaya, dan akal budi masyarakat.

Melalui beberapa contoh nama kampung dan kawasan dari Semenanjung Malaysia, Sarawak serta Sabah, beliau menjelaskan kisah mitos, ekologi dan cara hidup setempat tersulam dalam setiap nama tempat.
Tiponim atau penamaan tempat mengandungi maklumat sosioekonomi dan sosiobudaya kerana dengan hanya menyebut nama sesuatu kawasan kita dapat mengenali siapa penduduknya, aktiviti sara hidupnya dan adat budayanya.
Nama tempat bukan sekadar tanda geografi, sebaliknya menjadi dokumen sejarah yang menyimpan kisah hidup, pekerjaan, malah kepercayaan masyarakat setempat.
Beliau turut menjelaskan bahawa nama tempat seperti Batu Caves, Temerloh dan pelbagai kampung di Johor serta Sarawak menjadi bukti jelas bahawa bahasa mampu merakam memori kolektif masyarakat sekali gus mengekalkan kesinambungan tradisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya.