Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 27 September 2025, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lanchang – Bagi memperkasakan usaha pemeliharaan bahasa peribumi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengambil inisiatif untuk mengangkat warisan bahasa Orang Asli Che Wong melalui pelaksanaan Program Pelestarian Bahasa Peribumi: Bahasa Orang Asli Che Wong yang berlangsung pada 23 26 September 2025 di Kampung Sungai Enggang, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi Yang Amat Berhormat (YAB) Dato Seri’ Anwar Ibrahim bagi melestarikan bahasa kaum minoriti di Malaysia melalui usaha pengumpulan dan pendokumentasian kosa kata bahasa peribumi, di samping  meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan memelihara warisan bahasa sebagai sebahagian daripada identiti budaya negara.

Program ini menjadi bukti komitmen DBP dalam usaha memastikan bahasa peribumi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi baharu, seiring dengan usaha memperkukuh kepelbagaian bahasa dan budaya di Malaysia.

Sepanjang program tersebut, sebanyak 1050 kosa kata bahasa Orang Asli Che Wong berjaya dikumpulkan dengan pelibatan pelajar serta pelatih industri dari Universiti Monash Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Poly-Tech MARA yang turut serta menjalankan kerja lapangan bersama- sama komuniti setempat.

 

Pegawai DBP sedang merekod dan mengumpulkan kosa kata bahasa peribumi yang baharu sebagai usaha memelihara warisan bahasa agar terus diwariskan kepada generasi baharu.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Pelestarian Bahasa Peribumi: Bahasa Orang Asli Che Wong di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid; Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali; Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Temerloh, Encik Muzamir Md Shukri, barisan pegawai PERHILITAN dan barisan pegawai DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi