Diterbitkan pada 29 September 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penerbit majalah Svara terus berusaha menerbitkan majalahnya dalam bahasa Melayu kerana yakin dengan kebolehan bahasa tersebut yang dilihat setaraf dengan bahasa Inggeris.

Editornya, Encik Hafiz bin Hamzah menyatakan bahawa penterjemah, penulis dan pembaca tempatan perlu yakin dengan bahasa Melayu sebelum memikirkan hal-hal yang lain.

“Perkara paling utama sebelum penterjemahan dilakukan (ke dalam bahasa Inggeris) ialah penulis dan pembaca di Malaysia perlu yakin dengan bahasa sendiri. Kedua, perlu menulis karya yang bagus. Jika terdapat ejen sastera yang sekarang ini telah pun bergerak, apakah karya yang ingin mereka persembahkan?” katanya dalam program bual bicara “Svara: Lima Tahun Mencetak Rasa” di Kinokuniya, KLCC.

Encik Hafiz bin Hamzah, editor Svara (dua dari kiri) bergambar bersama-sama panel yang lain, iaitu Encik A. Muziru Idham, Encik Arif Danial dan Puan Qurratul ‘Ain selaku moderator dalam Program “Svara: Lima Tahun Mencetak Rasa” yang berlangsung di Kinokuniya, KLCC.

Encik Hafiz bin Hamzah yang juga pernah bergelar editor penerbitan mandiri Obscura  juga berpendapat bahawa persoalan terjemahan Svara ke dalam bahasa Inggeris bukanlah tentang bahasa, sebaliknya tentang idea.

“Pada pandangan saya, sebagai rakyat Malaysia yang majoritinya menggunakan bahasa Melayu untuk pelbagai perkara sering berasa tidak yakin dengan bahasa sendiri dalam hal penerbitan atau perkara yang memerlukan pandangan dan buah fikiran, hal ini bukanlah masalah daripada orang lain, sebaliknya daripada kita sendiri. Oleh sebab itu, Svara berpegang pada pendirian paling asas, iaitu tidak akan ada penerbitan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.

Dalam penerbitan Svara yang kini genap lima tahun, beliau menyatakan bahawa sememangnya wujud perbincangan bagi menerbitkan Svara dalam bahasa Inggeris atau dwibahasa.

Antara maklum balas yang diterima termasuklah pihak luar yang sangat berminat dengan apa-apa yang dibuat tetapi tidak memahami sepatah perkataan pun yang terdapat dalam penerbitan tersebut. Jawapan yang mudah daripada saya adalah ‘Jika berkehendak, belajarlah bahasa Melayu.’

Mengulas lanjut, Encik Hafiz yang juga penerima Anugerah Pejuang Sastera Negeri Perak 2023 itu berkata,

Kita perlulah mengenal diri melalui bahasa dan budaya kita. Hal ini jauh lebih baik berbanding dengan membawa benda ini (Svara) untuk memberikan orang luar merasakan keseronokan membacanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi