Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – “Bahasa Jiwa Bangsa” sebagai roh perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu dipilih sebagai tema Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2025. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini terus menjadi wadah bagi memperkukuh jati diri pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) melalui penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, dalam wawancara bersama-sama SABAHfm, pertandingan forum ini terbukti menjadi batu loncatan terbaik bagi meningkatkan kefahaman serta menanam rasa cinta terhadap bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu.
Pertandingan ini melahirkan model penggunaan bahasa Melayu baku yang sempurna dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya penyampaian. Sehubungan dengan itu, pertandingan ini dapat melahirkan pelajar bukan Melayu yang mampu berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu secara berkesan,” katanya.
Beliau menambah, forum ini secara langsung membina keyakinan diri, semangat kerja berpasukan dan kreativiti selain menanam rasa kebersamaan serta kebanggaan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan dalam masyarakat berbilang kaum.
Pertandingan Forum Pelajar telah menghiasi takwim DBP sejak tahun 1992, menjadikannya 33 tahun berturut-turut dilaksanakan dengan impak besar. Program ini dilaksanakan oleh DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) DBP yang ditubuhkan khusus untuk memupuk, mengembangkan dan menggalakkan bahasa Melayu serta sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Kerjasama penganjuran turut melibatkan Dong Zong, Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia serta Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF).
Ketua Bahagian BKPK, YBrs. Puan Aninah anak Janang berkata, DBP mempunyai pelbagai program khusus yang melibatkan masyarakat majmuk, antaranya termasuklah Festival Bahasa dan Sastera, Pertandingan Teater Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan, Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Kebangsaan serta program Pemantapan Dondang Sayang dan Keroncong.
“Matlamat pengembangan bahasa dan sastera tidak mungkin tercapai sekiranya terbatas dalam lingkungan sesuatu kaum. Oleh itu, program sebegini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 500 pelajar sekitar Kota Kinabalu hadir menyaksikan acara ini secara langsung. Bagi pelajar SMPC seluruh Malaysia yang tidak dapat hadir, pertandingan turut disiarkan secara langsung melalui media sosial DBP Malaysia dan ditayangkan di dalam kelas oleh sekolah masing-masing.
“Mungkin tahun ini mereka tidak berjaya ke peringkat akhir, tetapi peluang melihat rakan-rakan beraksi akan membakar semangat mereka untuk menyertai pertandingan pada masa hadapan,” jelas Puan Aninah.
Enam pasukan terbaik yang menjuarai peringkat zon berentap di pentas akhir, iaitu SM Jit Sin Pulau Pinang (Zon A), SM Poi Lam (SUWA) Ipoh (Zon B), SM Tsun Jin Kuala Lumpur (Zon C), SM Foon Yew Kulai (Zon D), SM Kian Kok Kota Kinabalu (Zon E) dan SM Chung Hua 1 Kuching (Zon F).
Hadiah wang tunai lumayan disediakan dengan juara membawa pulang RM2,500.00, naib juara RM2,000.00, tempat ketiga RM1,500.00, manakala Ahli Panel Terbaik dan Pengerusi Terbaik masing-masing menerima RM300.00.