Diterbitkan pada 27 September 2025, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Gandah – Sebanyak empat orang wakil pelajar dari Universiti Monash Malaysia terlibat dalam Program Pelestarian Bahasa Peribumi: Bahasa Orang Asli Che Wong dalam usaha meneliti, mengumpul dan mendigitalkan data linguistik serta budaya Orang Asli Che Wong di Kampung Orang Asli Cheq Wong pada 23 hingga 25 September 2025 yang lalu.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ini menghimpunkan pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

Pelajar dan pensyarah dari Universiti Monash Malaysia bergambar bersama-sama fasilitator dan informan.

Empat orang pelajar dari Universiti Monash Malaysia, iaitu Encik Abdul Rashid bin Anuar, Encik Ahmad Sufi bin Aziz Shah, Puan Mariam Shazmin binti Mohamed Raihan dan Puan Moesha Novyna serta seorang pensyarah pengiring, iaitu Yang Berusaha Dr. Soon Lay telah menyumbang secara aktif dalam proses pengumpulan data dan anotasi linguistik bagi tujuan perlindungan bahasa Orang Asli Che Wong.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah pengumpulan dan pendokumentasian data leksikal dalam bahasa Che Wong, serta penterjemahannya ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan penutur asli dan fasilitator dari DBP.

Menurut Encik Abdul Rashid bin Anuar,

Kami melihat projek ini sebagai satu peluang yang sangat berharga untuk memelihara bahasa Che Wong yang berisiko pupus sambil mendalami cara hidup serta pengetahuan tradisional masyarakat tersebut.

Sesi pengesahan data bersama-sama informan, Encik Rangek bin Beng.

Antara penemuan menarik yang direkodkan termasuklah gaya kehidupan inklusif masyarakat Che Wong serta tradisi mereka yang unik, khususnya yang berkaitan dengan struktur sosial dan adat perkahwinan. Para pelajar turut menghayati rangkaian masyarakat yang kuat dan peranan tradisi dalam membentuk identiti komuniti ini.

Ujar Encik Ahmad Sufi bin Aziz Shah,

Kami mendapati bahawa banyak kosa kata suku kaum Che Wong merupakan kata pinjaman daripada bahasa Melayu. Kehidupan mereka sangat berkaitan rapat dengan alam semula jadi, terutamanya tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan mereka. Mereka menggunakan pelbagai jenis tumbuhan sebagai ubat-ubatan tradisional, dan ini menunjukkan betapa pentingnya hutan kepada komuniti tersebut.

Sebagai sebahagian daripada dapatan penyelidikan, para pelajar mencadangkan pembinaan kerangka kerja anotasi yang konsisten bagi menjamin ketepatan pengecaman fonetik dalam bahasa peribumi. Pendekatan ini diharapkan dapat menyokong usaha pendigitalan bahasa secara lestari dan saintifik.

Projek ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyedari bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah merupakan medium penyampaian ilmu tradisi dan pengetahuan ekologi yang diwarisi secara turun-temurun.

Para penyelidik bersama-sama informan yang bernama Bedah a/p Tapah (tengah).

Selain itu, menurut Puan Mariam Shazmin binti Mohamed Raihan,

Sebagai pelajar, kami berasa terpanggil untuk memainkan peranan dalam usaha mendokumentasikan dan memelihara warisan bahasa serta budaya komuniti seperti Che Wong. Malaysia memiliki pelbagai suku Orang Asli yang membawa ilmu dan perspektif yang unik dan kita tidak boleh biarkan warisan ini hilang begitu sahaja.

Inisiatif ini turut memperkukuh hubungan strategik antara DBP, JAKOA dengan IPT dalam usaha memajukan pelestarian bahasa dan budaya tempatan termasuklah memperlihatkan komitmen Universiti Monash Malaysia terhadap keterlibatan sosial dan penyelidikan berimpak tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi