Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kunjungan hormat bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) pada Khamis menyaksikan kedua-dua pihak menzahirkan komitmen bersama dalam usaha memperkasakan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam sekitar Batu Pahat.
Pertemuan tersebut memberikan tumpuan pada perbincangan mengenai pengesahan iklan, papan tanda dan penamaan khas dalam bahasa kebangsaan.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah awal yang bersepadu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul, selain menjalinkan hubungan strategik antara DBP dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Selain itu, perbincangan ini turut melibatkan aspek keselarasan format papan iklan, penggunaan bahasa yang menarik bagi penamaan acara di sekitar Batu Pahat dan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda.
Dalam sesi berkenaan, DBP memperkenalkan beberapa perkhidmatan utamanya, iaitu DBP Sah Bahasa, Khidmat Nasihat Bahasa dan Penyemakan Dokumen sebagai platform sokongan kepada pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan yang lebih mantap dan menyeluruh.
Di samping itu, cabaran dan isu yang timbul juga dibangkitkan dalam pertemuan tersebut seperti perbezaan format iklan PBT, pemalsuan sijil DBP Sah Bahasa dan operasi bersepadu antara DBP dengan PBT.
Kunjungan hormat bahasa tersebut disertai oleh pihak MPBP yang terdiri daripada Yang Dipertua MPBP, YBrs. Encik Ezahar Abu Sairin; Ketua Unit Perhubungan Awam dan Korporat, YBrs. Encik Muhammad Zulkarnain Alias; Ketua Jabatan Pelesenan, YBrs. Puan Rosnaleza Tugiman; Ketua Jabatan Perancangan Pembangunan, YBrs. Encik Shahril Karjoo; Ketua Unit Undang-undang, YBrs. Encik Muhammad Afiq Rosman serta tiga orang pegawai dari DBP.