Diterbitkan pada 5 Oktober 2025, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Auditorium Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) bergema dengan semangat bahasa dan seni apabila berlangsungnya Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Pahang yang dirangkaikan dengan Perasmian Festival Lingua Franca 2025, semalam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UnIPSAS, Prof. Madya Dr. Ahmad Effat Mokhtar menyampaikan cenderamata kepada Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry.

Majlis gilang-gemilang itu disempurnakan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UnIPSAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar serta Pemangku Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan, YBrs. Tuan Haji Asmui Mustapha.

Dalam ucapan perasmiannya, Puan Nurul Julia Alani Henry menjelaskan bahawa Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) merupakan inisiatif nasional di bawah DBP bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor.

DBK ialah ibu kepada Bulan Bahasa Kebangsaan. Hal ini bukan sahaja dilaksanakan dalam sektor pendidikan, tetapi turut melibatkan sektor swasta dan komuniti. Usaha ini penting bagi memastikan bahasa Melayu terus menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa tamadun.

Beliau menegaskan tentang kepentingan penggunaan bahasa yang betul dalam komunikasi harian, khususnya dalam media sosial yang kini sering menampilkan gaya bahasa yang longgar dan kurang tepat.

“Kita mesti menyuburkan rasa cinta terhadap bahasa dengan melafazkannya secara betul dan indah. Mahasiswa dan generasi muda perlu menjadi contoh terbaik dalam menutur dan menulis dengan mutu bahasa yang tinggi,” tegasnya.

Puan Nurul Julia Alani Henry semasa menyampaikan ucapan perasmiannya.

Puan Nurul Julia turut memuji kerjasama erat antara DBP Wilayah Tengah dengan UnIPSAS yang disifatkannya sebagai usaha bersama yang subur untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Tambah beliau lagi,

DBP yakin melalui pelbagai program yang dirancang dan dijalankan, sikap positif terhadap kemampuan bahasa kebangsaan untuk mengungkap ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dapat diperkukuh setanding dengan bahasa utama dunia.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Effat bin Mokhtar menzahirkan penghargaan terhadap DBP Wilayah Tengah kerana memilih UnIPSAS sebagai tuan rumah bagi pelancaran berprestij tersebut.

“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi jiwa bangsa dan wahana rakyat Malaysia. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi penyatu yang membentuk pemikiran dan membina jati diri,” ujar beliau.

YBrs. Prof Madya Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UnIPSAS ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Beliau menegaskan bahawa UnIPSAS percaya bahawa penguasaan bahasa merupakan asas bagi segala keilmuan, justeru penganjuran Festival Lingua Franca menjadi wadah bagi memperkasakan semangat cinta bahasa dalam kalangan mahasiswa.

“Kami berharap agar festival ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga gelanggang pemikiran dan wacana ilmiah bagi memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat universiti dan masyarakat,” katanya.

Dr. Effat turut mengimbas kejayaan UnIPSAS menganjurkan Festival Jawi di Menara Kuantan 188 sebagai bukti komitmen institusi tersebut dalam usaha mengangkat bahasa dan tulisan warisan bangsa ke persada umum.

Festival Lingua Franca 2025 diwarnai dengan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera termasuklah deklamasi puisi, penulisan cerpen, pidato, berbalas pantun dan celik Jawi lama. Sebagai kemuncak malam perasmian, penonton dihidangkan dengan pementasan teater “Hikayat Dharma Puteri: Cinta Dua Darjat”, karya dan arahan Daniel Irfan atau dikenali sebagai Deeloka, mahasiswa Tahun Tiga Pengajian Bahasa, UnIPSAS.

Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan dan Festival Lingua Franca 2025 di UnIPSAS membuktikan bahawa bahasa dan seni merupakan dua sayap yang menjulang bangsa.
Gabungan usaha antara DBP, UnIPSAS dan DPMP bukan sahaja memperkukuh fungsi bahasa sebagai alat perpaduan, tetapi juga menghidupkan semula roh kesusasteraan dan budaya dalam kalangan generasi muda.

Kredit Foto: Khairul Azhar bin Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi