Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMeneroka Cakerawala Ilmu dan Sastera melalui Bahasa Melayu
Daripada perspektif yang berbeza, usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2025 tidak terhad terhadap penggunaan harian tetapi turut memberikan tumpuan serius untuk mengangkatnya sebagai bahasa ilmu yang unggul. Matlamat ini sangat penting kerana keupayaan sesebuah bahasa untuk menjadi wadah ilmu pengetahuan moden menentukan daya saing dan kelangsungan tamadun bangsa. BBK berfungsi untuk menyemarakkan kesedaran bahawa bahasa Melayu perlu digunakan secara menyeluruh dalam aktiviti intelektual. Kesedaran tersebut boleh didapati daripada penulisan tesis di universiti sehinggalah kepada penerbitan jurnal saintifik yang mampu memastikan bahasa Melayu kekal menjadi medium utama dalam penjanaan dan penyebaran ilmu di Malaysia.
Secara ilmiah, pemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini sangat bergantung pada pengembangan istilah yang bersesuaian terutamanya dalam bidang yang pesat membangun seperti sains dan teknologi. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan aktif dalam memacu usaha peristilahan ini serta mencipta dan membakukan ribuan istilah teknikal setiap tahun. Sebagai contoh, istilah kompleks dalam bidang kejuruteraan, perubatan atau teknologi maklumat diterjemahkan dan diserap ke dalam kosa kata bahasa Melayu bagi membolehkan pelajar dan profesional tempatan membincangkan subjek tersebut tanpa sebarang kekangan bahasa. Antara istilah tersebut termasuklah “buli siber”, “kereta nirpemandu”, “dapur awan”, “dedah maya” dan “pengecam objek digital”. BBK sering menampilkan forum dan seminar yang membincangkan tentang keupayaan peristilahan ini, justeru menunjukkan kematangan bahasa kita.
Sementara itu, usaha memartabatkan bahasa Melayu melibatkan pemerkasaan penggunaannya dalam sistem pendidikan negara. Hal ini bukan sahaja merujuk pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan pada tahun 2010, namun turut memastikan bahawa subjek kritikal diajar dengan menggunakan bahasa Melayu yang piawai dan berkesan pada semua peringkat pengajian.
Keberkesanan inisiatif ini membina pemikiran yang lebih kritis dan seimbang dalam kalangan pelajar kerana mereka dapat memahami konsep yang kompleks dalam bahasa ibunda mereka. BBK membantu menguatkan sentimen ini, mendorong para akademik dan pendidik untuk terus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ilmu.
Satu lagi fokus utama yang dijayakan melalui BBK ialah penterjemahan karya besar luar negara ke dalam bahasa Melayu. Inisiatif ini adalah jambatan budaya dan ilmu yang membolehkan masyarakat Malaysia mengakses idea, falsafah dan tema penulisan dari pelbagai tamadun dunia. Misalnya, penterjemahan karya sastera klasik atau buku falsafah penting Eropah atau Asia dapat memperkayakan khazanah sastera tempatan dan memberikan perspektif baharu kepada pembaca. Peruntukan dana yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 kepada DBP untuk berkerjasama dengan penggiat bahasa bagi tujuan ini menunjukkan betapa pentingnya penterjemahan dalam mengimbangi pengaruh globalisasi tanpa kehilangan akar budaya.
Secara kolektif, semua usaha ini yang disemarakkan semasa BBK bakal memperkukuh keupayaan bahasa Melayu di persada antarabangsa sambil mengekalkan jati diri bangsa. Apabila bahasa Melayu mampu mengungkapkan ilmu moden bagi memaparkan karya sastera global dan digunakan dengan bangga oleh warganegaranya, hal ini akan dihormati pada peringkat serantau dan antarabangsa. Kejayaan ini bukan sekadar mengiktiraf bahasa kita tetapi juga membuktikan bahawa bahasa kebangsaan mampu berkembang dan bersaing sebagai lingua franca moden, terutamanya di rantau Asia Tenggara. BBK adalah manifestasi hasrat ini untuk memastikan bahasa Melayu terus subur ke persada dunia.
Sebagai penutup wacana ini, harus dikhabarkan kepada semua bahawa BBK merupakan detik kemuncak tahunan yang menamatkan sambutan Oktober melalui seruan bertalu-talu kepada seluruh warga Malaysia untuk menyahut tanggungjawab bersama. Seruan ini melangkaui pelancaran majlis dan acara kerana menuntut komitmen harian bagi memelihara, memperkaya dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Hal ini membawa makna bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab menyemak ejaan dan penggunaan istilah yang tepat dalam komunikasi rasmi, media sosial dan perbualan, sekali gus menghentikan amalan mencampur aduk bahasa yang dapat mencemarkan kemurnian bahasa Melayu.
BBK menjadi platform untuk membezakan antara dua dimensi penting, iaitu memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Memartabatkan merujuk tindakan meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan yang sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tamsilnya, memastikan bahasa tersebut digunakan secara konsisten dalam sektor perundangan, pentadbiran atau perniagaan. Seterusnya, mendaulatkan pula membawa makna yang lebih mendalam ,iaitu menyanjung dan menghormati bahasa itu sendiri dan menjadikannya berwibawa. Mendaulatkan bahasa Melayu bererti mengelakkan bahasa slanga atau dialek yang tidak sesuai digunakan dalam konteks rasmi kerana kedaulatan bahasa berkaitan rapat dengan maruah negara.
Dengan berbuat demikian, realiti telah menunjukkan bahawa kejayaan BBK dan kelestarian bahasa Melayu adalah tugas kolektif semua pihak dan bukan hanya bersandarkan kepada DBP semata-mata. Walaupun DBP berada di barisan hadapan sebagai pemegang amanah, usaha memasyarakatkan bahasa memerlukan pelibatan aktif sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan. Sebagai contoh, sektor korporat boleh memainkan peranan dengan memastikan iklan, papan tanda perniagaan dan komunikasi dalaman mereka menggunakan bahasa Melayu yang gramatis dan piawai demi membuktikan komitmen mereka terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan.
Semangat “Sayangi Bahasa, Sayangi Negara” yang didukung sepanjang BBK 2025 merupakan inti pati yang kukuh dan perlu meresapi jiwa setiap rakyat Malaysia. Kecintaan terhadap bahasa Melayu secara intrinsik berkaitan dengan rasa patriotik kerana bahasa adalah warisan yang paling nyata bagi sesebuah negara merdeka. Apabila semangat ini teguh, bahasa Melayu akan terus berfungsi sebagai tonggak perpaduan yang menyatukan masyarakat majmuk selain daripada menjadi tonggak ilmu yang membawa negara ke arah kemajuan dan tonggak warisan yang menjadi sandaran budaya dan sejarah.
Kesimpulannya, BBK berfungsi sebagai jaminan bahawa bahasa Melayu akan menjadi warisan yang unggul untuk diwarisi oleh generasi MADANI yang akan datang. Generasi ini yang membesar pada era digital dan globalisasi yang mencabar perlu dibekalkan dengan bahasa kebangsaan yang kukuh dan berwibawa. Dengan kesedaran dan komitmen berterusan yang disemarakkan melalui BBK, kita mampu memastikan bahawa anak cucu kita tidak akan terputus hubungan dengan akar budaya dan identiti bangsa mereka. Hal ini sekali gus, membolehkan bahasa Melayu terus subur dan berkembang sebagai bahasa peradaban yang disegani di dunia.