Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam — Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi tunjang pembentukan jati diri dan asas kemerdekaan sebenar sesebuah bangsa. Demikian antara inti pati Wacana Tokoh bertemakan “Bahasa dan Jati Diri Bangsa” bersempena dengan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, pagi tadi.

Wacana tersebut menampilkan dua tokoh utama, iaitu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, dengan Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam TV3, YBrs. Encik Ahmad Fedtri Yahaya, di kerusi pengerusi.

Dalam ucapannya, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu terus menjadi teras utama dalam membangunkan negara bangsa. Katanya, bahasa bukan sekadar simbol budaya, tetapi juga wadah penyatuan yang menghubungkan kepimpinan negara dengan rakyat.

“Bahasa ialah perantara antara ketua negara dengan masyarakat umum. Pemimpin jangan bersifat terasing, setiap keputusan yang dibuat perlu menelaah realiti sekeliling agar tidak terpisah daripada jiwa rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembinaan bangsa tidak boleh hanya tertumpu pada kemajuan fizikal dan ekonomi, sebaliknya perlu berpaksikan nilai dan jati diri yang lahir daripada warisan bahasa ibunda.

Wacana Tokoh menampilkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, dan dipengerusikan oleh Penerbit Eksekutif Jabatan Pengisian Islam TV3, YBrs. Encik Ahmad Fedtri Yahaya.

 

Sementara itu, Dr. Hazami bin Jahari menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan gagasan penyatuan dalam mendepani cabaran era digital dan globalisasi. Menurutnya, setelah 68 tahun merdeka, Malaysia berada di landasan negara maju, namun asas pembinaan bangsa perlu terus berpaut pada kekuatan bahasa.

“Sebelum kita membentuk negara, isu bahasa telah dibahas dan ditetapkan oleh raja-raja Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa Melayu ialah warisan yang menyatukan pentadbiran, keilmuan, ekonomi dan politik negara,” jelas beliau.

Beliau turut mengaitkan perbandingan dengan negara lain seperti Argentina, Brazil, India dan Filipina yang masih mengekalkan bahasa penjajah sebagai bahasa rasmi selepas merdeka.

“Kalau kita mencapai kemerdekaan tetapi menggunakan bahasa orang lain, adakah kita benar-benar merdeka atau masih dijajah secara halus? Malaysia memilih bahasa Melayu kerana bangsa itu dikenali melalui bahasanya,” tegas Dr. Hazami.

Beliau turut menambah bahawa penguasaan bahasa asing tetap penting, namun bahasa kebangsaan perlu diangkat sebagai simbol kemerdekaan dan alat perpaduan nasional.

Dalam wacananya, Dr. Hazami turut menjelaskan bahawa dua mekanisme utama dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu, iaitu melalui sistem pendidikan dan pentadbiran.

“Pertama, melalui sistem pendidikan bagi menyemai kecintaan terhadap bahasa sejak di bangku sekolah. Kedua, melalui pelaksanaan bahasa rasmi dalam semua urusan kerajaan dan pentadbiran awam,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keberkesanan dasar bahasa tidak hanya bergantung pada dasar yang digubal, tetapi kepada pelaksanaan dan sikap masyarakat terhadap penggunaan bahasa itu sendiri.

Moderator, Encik Ahmad Fedtri Yahaya, mengemudi perbincangan dengan menekankan bagaimanakah bahasa berfungsi sebagai wadah komunikasi, nilai dan kefahaman bersama. Beliau turut menyeru agar bahasa Melayu terus diberi tempat utama dalam penyebaran ilmu, media dan wacana intelektual agar tidak hanya menjadi bahasa sentimental tetapi juga bahasa yang berpengaruh dalam semua bidang.

Yang turut hadir dalam sesi pagi ini ialah barisan kepimpinan tertinggi DBP, antaranya termasuklah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP dan YBrs. Puan Roziah bin Md Yunus.

Konvensyen 152 kali ini mengangkat semangat “152” yang menandakan simbol perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Konvensyen ini mengingatkan khalayak bahawa kekuatan sesebuah bangsa bergantung pada keutuhan bahasanya.

Dengan semangat itu, wacana ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh kefahaman bahawa mempertahankan bahasa Melayu bukan sekadar usaha budaya, tetapi satu bentuk perjuangan mempertahankan kedaulatan bangsa dan kemerdekaan sebenar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi