Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong terus mencatat sejarah apabila merangkul kejuaraan bagi Pertandingan Akhir Pantun Bertemakan Peribahasa Peringkat Negeri Selangor DRB-HICOM bersama Harian Metro selepas berjaya menewaskan Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST), Subang Jaya yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, baru-baru ini.
Kemenangan ini membolehkan SMK Bukit Jelutong membawa pulang wang tunai sebanyak RM 2,500.00, trofi, sijil serta baucar buku bernilai RM 1,000.00.
Naib Johan pertandingan menjadi milik Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) dengan membawa wang tunai bernilai RM2,000.00, trofi, serta baucar buku bernilai RM800.00.
Manakala, tempat ketiga pula disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama yang menerima wang tunai sebanyak RM 1,000.00, trofi, sijil serta baucar buku bernilai RM 600.00, diikuti tempat keempat dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 membawa pulang wang tunai RM 800.00, trofi, sijil serta baucar buku bernilai RM 600.00


Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Agama Kuala Selangor; SMK Taman Dato’ Harun; SMK Sijangkang Jaya dan SMK Ampang Pecah, masing-masing menerima hadiah wang saguhati bernilai RM 600.00, sijil, trofi dan baucar buku bernilai RM 400.00
Selain hadiah utama, anugerah khas turut disampaikan dalam majlis tersebut apabila gelaran Pelakon Terbaik diberikan kepada Ahmad Naufal dari SAM Bestari dan gelaran Pemantun Terbaik disandang oleh Nur Insyirah Suffiya dari SMK Bukit Jelutong, masing-masing membawa wang tunai RM 500.00, sijil dan trofi.
Selain itu, acara pada kali ini juga dimeriahkan dengan kehadiran Pengacara TV3, Encik Ahmad Fedtri Yahya yang bertindak selaku moderator dalam pertandingan pantun akhir ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai berkata bahawa pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan syarikat DRB-HICOM dan Harian Metro sepanjang penganjuran pertandingan pantun bermula sejak bulan Ogos yang lalu.
Kata beliau, Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa anjuran DRB-HICOM telah berjaya memartabatkan seni pantun dalam kalangan generasi muda.
“Pantun bukan sahaja dapat menyampaikan bahasanya, malah dalam pantun ini mengandungi makna yang tersirat, pemikiran dan hasrat pemantun untuk disampaikan kepada khalayak,” katanya ketika berucap dalam Pertandingan Akhir Pantun Bertemakan Peribahasa di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Pada masa yang sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, YBhg. Tan Sri Syed Faisal Albar menzahirkan rasa kebanggaan terhadap penyertaan yang tinggi dalam pertandingan pantun,sekali gus memberikan semangat yang luar biasa dalam kalangan pelajar untuk terus memartabatkan seni pantun.
“Sebanyak 95 penyertaan video pantun telah diterima dan penyertaan pada kali ini amat memberangsangkan dari 48 buah sekolah menengah di sekitar negeri Selangor. Angka ini telah membuktikan ramai peserta yang masih bersemangat dan bangga demi mempertahankan seni dan budaya tanah air kita,” ujarnya.
Jelasnya, syarikat DRB-Hicom akan terus menyokong segala inisiatif bagi memelihara warisan bangsa dan program yang berkaitan dengan elemen seni dan budaya.

Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad, Encik Jasbant Singh berkata, kerjasama antara DRB-HICOM dengan DBP, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Harian Metro mencerminkan usaha strategik yang membawa impak besar kepada bidang pendidikan dan pembangunan budaya di Malaysia.
“Kolaborasi yang utuh antara sektor korporat, media, badan bahasa dan agensi pendidikan merupakan bukti kesungguhan kita dalam memainkan peranan bagi memartabatkan bahasa, budaya dan pendidikan di persada tanah air,” jelasnya lagi.
Menurut beliau lagi, Harian Metto memainkan peranan melaporkan berita isu terkini dan semasa, di samping berperanan sebagai media jambatan antara pihak swasta, agensi kerajaan dan rakan strategik lain.
“Dengan slogan “Rasai Berita Sebenar”, Harian Metro sentiasa cakna dengan denyut nadi rakyat dan berusah mempengaruhi ke arah perubahan positif,” tegasnya.

Untuk rekod, SMK Bukit Jelutong pernah dinobatkan juara dalam Pertandingan Pesta Pantun antara Sekolah Menengah Peringkat Daerah Petaling Perdana pada tahun 2024
Yang turut hadir dalam Pertandingan Akhir Pantun Bertemakan Peribahasa 2025 termasuklah Ketua Pegawai Komunikasi, DRB-HICOM Berhad, YBhg. Encik Cairil Irwan Amir; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Murid, Sektor Pembangunan Murid, JPN Selangor, YBrs. Puan Farah Wahidah Nik Omar; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Encik Muhamad Safar Ahmad, Barisan JPN, Ketua-ketua Bahagian.