Diterbitkan pada 12 Oktober 2025, 10:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor – Pada era penggunaan bahasa asing yang semakin mendominasikan landskap perniagaan, Klinik Pergigian Tulen tampil berani dan unggul apabila menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan tulisan Jawi pada papan tanda premis dan papan iklan di dalam klinik mereka.

Usaha mereka tersebut menerima pujian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam program Ziarah Bahasa yang berlangsung pada petang tadi di Melawati Mall, Pusat Bandar Melawati, Selangor.

Klinik Pergigian Tulen mempamerkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang pastinya menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Keunikan papan tanda klinik tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan perundangan, malah menyerlahkan komitmen pemilik premis dalam memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai wahana komunikasi utama. Penggunaan tulisan Jawi, yang semakin jarang-jarang digunakan dalam premis komersial, menambahkan lagi nilai warisan dan identiti nasional yang kian terhakis.

Seksyen 9: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) jelas menyatakan bahawa tulisan bagi tulisan bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, walau bagaimanapun penggunaannya tidak menafikan penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi.

“Kebiasaannya kita melihat kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris, bahkan bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan bahasa Korea pada paparan iklan serta premis perniagaan dan penggunaan bahasa Melayu sering diketepikan atau diadakan hanya sekadar hiasan. Walau bagaimanapun, Klinik Pergigian Tulen membuktikan bahawa bahasa kebangsaan boleh digunakan dengan berkesan tanpa mengorbankan profesionalisme atau daya tarikan komersial,” kata Encik Rahimi bin Arifin, Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP.

Program Ziarah Bahasa turut menyantuni beberapa premis di Melawati Mall.

Program Ziarah Bahasa anjuran DBP dengan kerjasama MPAJ ini turut disertai oleh Tuan Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, Timbalan Yang Dipertua, MPAJ, berserta para pegawai MPAJ dan DBP ini bertujuan menyantuni para pemilik premis perniagaan, serta menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik di dalam Melawati Mall. Selain itu, program ini turut disertai oleh wakil pihak pengurusan Melawati Mall yang turut menerima baik teguran dan cadangan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.

Selain Klinik Pergigian Tulen, sebanyak 20 buah premis terlibat dalam program Ziarah Bahasa yang merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 dan mencerminkan usaha berterusan DBP dalam usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di sektor perniagaan dan pentadbiran tempatan.

Pendekatan mesra komuniti ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan mereka dalam memelihara dan memperkasakan bahasa kebangsaan yang bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi sebagai lambang jati diri negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi