Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasukan pemantun dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal bertemu dengan pasukan pemantun dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diwakili oleh peserta dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di gelanggang akhir Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan.

Pertandingan akhir ini akan berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara pada 14 Oktober 2025. Sayembara pantun ini merupakan program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan.

Pasukan KPT akan diwakili oleh Mohd Norhafifi bin Zolkiapli, Muhammad Wan Faizal Che Juhari, dan Muhammad Faizuddin Hashim, manakala KPM pula diwakili oleh Muhamad Burhan bin Md. Idris, Salim bin Abdullah, Mohd Bakri bin Talib dan Mastura binti Mohamad Zawawi.
Terdahulu, para peserta Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang terdiri daripada 13 pasukan dari pelbagai kementerian telah bertanding pada peringkat saringan, suku akhir dan separuh yang diadakan di INTAN, Jalan Elmu Kuala Lumpur.

Antara kementerian yang terlibat dalam sayembara pantun pada kali ini termasuklah Kementerian Kewangan yang diwakili oleh Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM); Kementerian Pendidikan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Dalam Negeri yang diwakili oleh dua pasukan dari Jabatan Pendaftaran Negara; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Jabatan Perdana Menteri yang diwakili oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang; Kementerrian Komunikasi yang diwakili oleh pasukan Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Perak.
Hakim pertandingan pada peringkat saringan, suku akhir dan separuh akhir terdiri daripada para hakim yang berpengalaman tentang pantun. Antaranya termasuklah Puan Flora Ilyana binti Othman, Puan Musazliza binti Mustan Syir, Encik Mohd Hariri bin Mohamad Nasir, Dr. As’malia binti Md. Lasim, Encik Azimin bin Daud AMN, Encik Mohd Nazrullah bin Abdul Aziz, Dr. Nurul Shazalina binti Zainudin, Encik Mohammad Nor Afiq bin Norshamsudin, Encik Mohd Amran bin Daud, Encik Muhammad Ikhwan Hakimi bin Mohd Yusof, Encik Muhammad Hanif bin Kamaruzzaman dan Puan Fatin Ainina bin Nor Azman.