Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Semangat cintakan bahasa kebangsaan terus dizahirkan apabila lebih 200 penjawat awam daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi telah melafazkan Ikrar Setia Bahasa Kebangsaan di Dewan Serbaguna Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, semalam.

Lafaz ikrar bersejarah itu diketuai oleh Tuan Nazaruddin bin Ahmad Eskandar dan Tuan Abdul Ahmad Bukhari bin Mahad yang merupakan Munsyi Muda dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama-sama Tuan Mohd Nazrullah bin Abdul Aziz, Munsyi Muda dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Upacara ini merupakan antara pengisian utama Majlis Perasmian Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 dan Kemuncak Pesta Sayembara Pantun MADANI yang dianjurkan oleh INTAN, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi).
Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah YBhg. Datuk Dr. Mohd Zamri bin Yusoff, Pengarah INTAN dan Yang Berusaha Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP.
Penganjuran konvensyen ini menjadi inisiatif strategik dalam memperkasakan modal insan melalui bahasa kebangsaan, di samping menjadi wadah pemasyhuran Munsyi Muda Bahasa dalam kalangan warga kementerian dan jabatan kerajaan.
Program ini juga menjadi wahana penting bagi menyerlahkan peranan bahasa dan sastera sebagai tonggak pembinaan tamadun bangsa dalam konteks perkhidmatan awam moden.
Ikrar yang dilafazkan bukan sekadar simbolik, tetapi mengingatkan seluruh warga perkhidmatan awam akan tanggungjawab besar bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa dan identiti negara.
Dalam arus dunia yang kian pesat membangun, penggunaan bahasa kebangsaan kadang kala dipandang enteng oleh segelintir individu. Namun, lafaz Ikrar Setia Bahasa Kebangsaan ini menjadi bukti bahawa masih ramai penjawat awam yang teguh berjiwa patriotik dan menyanjung tinggi martabat bahasa Melayu.
Lafaz ikrar ini mencerminkan tekad dan iltizam mereka untuk terus memastikan agar bahasa Melayu digunakan, dipertuturkan dan diamalkan dalam setiap urusan rasmi serta kehidupan seharian perkhidmatan awam.
Ikrar Setia Bahasa Kebangsaan
(digubah daripada Ikrar Setia Bahasa, Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005)
Kami warga perkhidmatan awam, berikrar akan terus setia memperjuangkan bahasa kebangsaan sebagai:
Sesungguhnya, kami bertekad akan meneruskan perjuangan ini.