Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Nurul Aina Najwa dari Universiti Malaya (UM) mencipta nama apabila dinobatkan sebagai johan Program Pembinaan Bakat Siswa Festival Bahasa IPT 2025 selepas berjaya mengalahkan lima peserta lain pada peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Anjung Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.
Kemenangan ini melayakkan Nurul Aina Najwa membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00 berserta sijil penghargaan DBP.
Naib johan pula disandang oleh Nur Syazwina binti Romzi dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000.00 berserta sijil penghargaan DBP, diikuti oleh tempat ketiga menjadi milik Nurul Zuh Sulwana binti Mat Isa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.00 serta sijil penghargaan DBP.


Sementara itu, pelbagai pengisian program turut diadakan bagi memeriahkan Festival Bahasa IPT, termasuk Pertandingan Dekon Generasi Muda MADANI, Pertandingan Pidato Interaktif serta Pertandingan Eksplorasi Bahasa.
Bagi Pertandingan Pidato Interaktif, tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Arasy Aeiman bin Mohammad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sementara itu, Pasukan Penyair Nasional Khupas dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai johan bagi Pertandingan Dekon Generasi Muda MADANI. Pertandingan Eksplorasi Bahasa pula menyaksikan Pasukan Bunga dari UiTM dinobatkan sebagai pemenang utama.
Majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa IPT Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat IPT telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM.
Pada masa yang sama, johan Program Pembinaan Bakat Siswa, Nurul Aina Najwa yang merupakan pelajar tahun akhir Jabatan Kesusasteraan Melayu-Akademi Pengajian Melayu dari UM ketika ditemu ramah oleh pasukan JendelaDBP menyatakan bahawa pengalaman beliau sewaktu menyertai pertandingan ini telah membuka ruang yang luas bagi mengasah bakat serta memperkukuh keyakinan diri dalam bidang kesusasteraan bahasa Melayu.
Pertandingan ini membuka ruang yang luas untuk saya meneroka kreativiti dalam penyampaian karya sastera, di samping mengasah kemahiran komunikasi dan keyakinan diri di hadapan khalayak.
Sepanjang latihan dan proses persembahan, saya belajar bukan sahaja tentang aspek teknikal dalam persembahan, malahan tentang nilai kerjasama, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Selain itu, dorongan dan galakan daripada kedua-dua ibu bapanya turut menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus menyertai Pertandingan Bakat Siswa 2025.
Ibu bapa saya sentiasa memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kejayaan saya. Mereka percaya dengan kemampuan saya dalam bidang kesusasteraan, dan kata-kata itu yang membuatkan saya lebih yakin untuk terus melangkah.
