Diterbitkan pada 26 Oktober 2025, 18:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu — Pendekatan yang santai dan kreatif digunakan bagi menarik minat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan dan identiti nasional menerusi penganjuran Karnival Lestari Bahasa 2025 (LESTARI 2025) dan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Dataran Platinum Mall, Kota Bharu, pagi semalam.

Karnival yang bertemakan “Semarak Bahasa Jiwa MADANI: Sayangi Bahasa, Sayangi Negara” itu merupakan antara inisiatif berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, penganjuran Karnival LESTARI ini digerakkan dengan beberapa objektif utama, antaranya termasuklah menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda agar mereka lebih mengenali dan menghargai nilai bahasa sebagai asas pembinaan jati diri dan negara bangsa.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata, “Pendekatan yang santai dan kreatif digunakan bagi menarik minat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan dan identiti nasional.”

Selain itu, katanya, usaha tersebut turut bertujuan untuk mengangkat nilai ekonomi bahasa Melayu melalui pelibatan sektor swasta, sekali gus memperlihatkan bahawa usaha memartabatkan bahasa tidak hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, bahkan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperteguh peranan bahasa Melayu sebagai wadah ilmu, budaya dan pemersatu bangsa, selari dengan kedudukannya sebagai bahasa negara, di samping mendekatkan masyarakat dengan peranan dan fungsi DBP sebagai institusi yang menjaga kedaulatan serta maruah bahasa kebangsaan.

“Tema ‘Semarak Bahasa Jiwa MADANI: Sayangi Bahasa, Sayangi Negara’ membawa mesej besar tentang kecintaan terhadap bahasa, bangsa dan tanah air.

“Tema ini seiring dengan misi DBP untuk menyemarakkan nilai budi, ilmu dan akhlak melalui bahasa kebangsaan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan rohani dengan material,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil bin Mohamad Pakarul-Razy, pada sebelah pagi selepas acara larian santai yang diadakan sebagai pembuka tirai karnival.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail bersama-sama dengan warga DBP, pelajar institusi pendidikan, dan orang awam yang memeriahkan acara tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang karnival, termasuklah pertandingan bahasa, pameran interaktif, jualan buku dan persembahan kebudayaan yang mencerminkan keindahan serta kepelbagaian bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi