Diterbitkan pada 26 Oktober 2025, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu − Larian Lestari Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Imedikel Pharma Holding Berhad telah berjaya meraih lebih 800 penyertaan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan golongan usia di Dataran Platinum Mall, pagi semalam.

Program ini turut memaparkan elemen bahasa dalam bentuk slogan, papan tanda motivasi bahasa, dan aktiviti interaktif sepanjang laluan larian, sekali gus membolehkan peserta mengutip pengalaman baharu tentang bahasa.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Ariza binti Che Ismail, Larian Lestari Bahasa merupakan antara pengisian utama dalam Karnival Lestari Bahasa pada tahun 2025 yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan bahasa kebangsaan melalui pendekatan yang lebih segar dan relevan, sejajar dengan gaya hidup masa ini yang digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan belia.

Sebahagian peserta bagi acara Larian Lestari Bahasa.

Tambah beliau lagi,

DBP Wilayah Timur juga amat menekankan pendekatan yang lebih kreatif dalam setiap program yang dianjurkan agar bahasa Melayu terus relevan dalam kehidupan seharian dan selari dengan perkembangan zaman.

Selain itu, usaha ini juga dapat mendekatkan masyarakat dengan bahasa Melayu secara lebih santai dan hal ini sekali gus membuktikan bahawa Bulan Bahasa Kebangsaan boleh diraikan dalam pelbagai bentuk, dan bukan hanya terbatas dalam bentuk wacana ilmu semata-mata.

Majlis pelepasan peserta Larian Lestari Bahasa telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola (ALP) DBP, YBrs. Dr. Fahd Razy; Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami bin Jahari; Presiden Imedikel Pharma Holding Berhad, Tuan Haji Yusmat bin Mamat; Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza binti Haji Che Ismail. Turut bersama-sama memeriahkan sesi pelepasan larian ini termasuklah selebriti tersohor di Kelantan, Encik Fendi Kenali dan juga personaliti Rancangan Televisyen Malaysia (RTM), Encik Ismail Adnan.

Larian Lestari Bahasa ini  turut disokong oleh rakan strategik lain termasuklah Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu, Kemudi Timur Elektronik Sdn. Bhd., Gopa Design, ADABI, Acson, Extrajoss, 100 Plus, NTS Printing dan Farm Fresh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi