Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta — Dalam era globalisasi yang menuntut keterbukaan dan jalinan kerjasama antara negara, pengukuhan diplomasi bahasa serantau dan antarabangsa menjadi keperluan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara negara serumpun.

Demikian menurut Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed yang mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya bersempena dengan Seminar Kebahasaan Antarabangsa Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia hari ini.

Beliau berkata, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya wahana yang membawa nilai, identiti dan jiwa bangsa. Justeru, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai bahasa diplomasi yang mencerminkan kehalusan budi serta kebijaksanaan tamadun serumpun.

Usaha boleh digerakkan melalui pelbagai inisiatif strategik, termasuklah dengan memperkukuh kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi memperluas penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di platform serantau dan global.

Tambahnya, penganjuran program diplomasi bahasa, seminar kebahasaan serta latihan bahasa untuk diplomat dan pegawai antarabangsa mampu menjadi medium bagi memperkenalkan keindahan dan nilai budaya serumpun di mata dunia.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar MABBIM menubuhkan Pusat Diplomasi Bahasa Serantau sebagai platform penyelidikan, latihan dan jaringan profesional bagi memperkukuh peranan bahasa dalam konteks hubungan antarabangsa.

“Melalui inisiatif ini, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia bukan sahaja berkembang sebagai bahasa ilmu dan budaya, tetapi juga sebagai bahasa diplomasi yang menghubungkan dunia Nusantara dengan komuniti global,” ujarnya.

Menurutnya, penganjuran seminar seperti ini amat bermakna kerana bukan sekadar membicarakan soal bahasa, tetapi turut memperluas horizon pemikiran terhadap peranan bahasa dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Beliau turut menyifatkan tema seminar kali ini, iaitu “Peranan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dalam Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa” sebagai amat bertepatan dengan hasrat memperkukuh kedudukan kedua-dua bahasa itu sebagai wahana diplomasi serantau serta simbol kekuatan tamadun bangsa.

Dalam konteks serantau katanya, bahasa berperanan sebagai jambatan yang menyatukan pelbagai latar budaya dan pemikiran di rantau Nusantara. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang berakar daripada sumber linguistik dan budaya yang sama telah lama menjadi wahana komunikasi dan persefahaman antara masyarakat serumpun.

Jelasnya,

Melalui bahasa, nilai kearifan tempatan dapat diterjemahkan dalam tutur, tulisan dan diplomasi yang mencerminkan kehalusan budi serta kebijaksanaan bangsa.

Beliau turut menekankan bahawa pengukuhan peranan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dalam diplomasi serantau bukan sahaja mengeratkan hubungan negara anggota MABBIM, tetapi juga memperteguh kedudukan kedua-dua bahasa sebagai lambang maruah dan identiti bangsa pada peringkat antarabangsa.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), katanya, pendigitalan dan inovasi bahasa menjadi keutamaan yang tidak boleh dipandang ringan. Justeru, negara anggota MABBIM disaran untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi bahasa seperti pembangunan pangkalan data korpus digital, perisian penterjemahan automatik, pengecaman suara serta aplikasi AI berasaskan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

“Usaha ini akan memudahkan akses ilmu dan komunikasi antara masyarakat, di samping memastikan bahasa kita terus hidup, dinamik dan relevan dalam dunia digital yang serba pantas,” katanya.

Beliau menegaskan, tanggungjawab membina dan mengembangkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia tidak hanya terletak di bahu MABBIM, tetapi merupakan amanah bersama para ilmuwan, pencinta dan pejuang bahasa di rantau Nusantara agar khazanah budaya ini tidak tenggelam dalam arus globalisasi.

Yang turut hadir dalam seminar tersebut termasuklah Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia, YBhg. Profesor Dr. Abdul Mu’ti, Ketua Perwakilan Indonesia, YBrs. Encik Hafidz Muksin, serta Ketua Perwakilan Brunei Darussalam, YM Awang Suip Abdul Wahab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi