Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta – Bahasa merupakan asas penting dalam memperkukuh diplomasi dan hubungan antarabangsa antara negara serantau, tegas Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Indonesia, YBhg. Profesor Dr. Abdul Mu’ti.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama dalam Seminar Kebahasaan Antarbangsa Majelis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) bertemakan “Peranan Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu dalam Diplomasi dan Hubungan Antarbangsa” yang berlangsung di Jakarta hari ini.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Abdul Mu’ti menekankan bahawa di tengah-tengah arus globalisasi dan kemajuan teknologi digital yang pesat, ketiga-tiga negara MABBIM memiliki peluang besar untuk membina ekosistem kerjasama yang kukuh dan relevan bagi generasi akan datang.

Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Indonesia, YBhg. Profesor Dr. Abdul Mu’ti menyampaikan ucap utama dalam Seminar Kebangsaan Antarbangsa MABBIM.

Beliau mencadangkan tiga simpul kerja utama, iaitu konsep tertib, terukur, teladan; rujukan responsif dan serantau semesta sebagai asas memperkukuh sinergi bahasa serumpun pada peringkat serantau.

“Kata yang tertib menuntun layanan yang tertib,” ujar beliau sambil menekankan pentingnya penggunaan bahasa yang jelas dan ramah dalam setiap ruang awam seperti papan tanda sekolah, pengumuman rasmi dan laman sesawang kerajaan di ketiga-tiga negara.

Beliau turut mencadangkan penggunaan alat ukur seperti Ujian Kemahiran Berbahasa Indonesia (UKBI) dan Indeks Pembangunan Kebahasaan bagi memantau kemajuan serta penambahbaikan dalam penggunaan bahasa.

Menyentuh aspek rujukan responsif, Profesor Dr. Abdul Mu’ti menyeru agar Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), himpunan istilah serta teks rasmi dijadikan pegangan bersama dalam kalangan guru, wartawan, penyunting dan penjawat awam. Menurutnya, apabila istilah baharu muncul dalam bidang sains, teknologi, undang-undang atau budaya, perlu disediakan padanan dan contoh penggunaan yang seragam agar pembelajaran dan komunikasi rasmi berjalan seiring.

Beliau turut menekankan bahawa peluang besar yang muncul setelah bahasa Indonesia diiktiraf di Sidang Umum UNESCO dengan menambah baik pengajaran Bahasa Indonesia bagi Penutur Asing (BIPA), memperluas usaha penterjemahan dan memperkukuh kehadiran jurubahasa dalam pertemuan antarabangsa.

Dalam simpul ketiga, iaitu serantau semesta, Profesor Dr. Abdul Mu’ti mengajak negara anggota MABBIM untuk menyatukan tenaga bagi memperbanyakkan manfaat bersama, termasuk pembangunan glosarium serantau, penerbitan koedisi buku ajar dan pedoman kebijakan serta pengiktirafan kredit silang antara universiti di Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia.

Beliau turut menyentuh isu kedaulatan bahasa pada era digital, menegaskan bahawa kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pemahaman bahasa tabii (NLP) menuntut keupayaan literasi bahasa yang tinggi, adab berbahasa yang beretika dan rujukan yang sahih.

“Teknologi seharusnya menjadi alat bantu manusia untuk sebagai penentu arah, bukan menggantikan martabat bahasa,” tegasnya.

Profesor Dr. Abdul Mu’ti menjelaskan bahawa kerangka yang dibentangkan selaras dengan Rencana Strategis Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah 2025–2029, yang menautkan ketertiban berbahasa, rujukan ilmiah dan diplomasi kebahasaan dalam Indikator Lintas Batas (bahasa Melayu: indikator lintas sempadan).

“Dengan memegang prinsip tertib, terukur, teladan, rujukan responsif dan serantau semesta, kita menempatkan bahasa sebagai daya saing kultural serta modal diplomasi yang nyata dan dekat dengan warga rantau ini,” katanya menutup ucapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi