Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta — “Adakah bahasa di dunia yang asalnya serumpun kemudian bergerak di jalurnya masing-masing tetapi pada titik perjalanan peradaban tertentu, bahasa ini bakal bertemu kembali?”

Demikian persoalan retorik yang membuka tirai pembentangan oleh Ahli Akademi Ilmu Pengetahuan Indonesia, Profesor Dr. Yudi Latief, dalam Seminar Kebahasaan Antarabangsa Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) di ibu negara Indonesia, semalam.

Menurut beliau, bahasa di ketiga-tiga negara anggota MABBIM, Indonesia, Malaysia dan Brunei berasal daripada rumpun Austronesia, cabang Melayu-Polinesia, namun masing-masing berkembang secara berbeza akibat sejarah penjajahan dan kolonialisme. 

Meskipun demikian, Profesor Yudi menjentik minda hadirin dengan kemungkinan bahawa titik tumpuan linguistik antara bahasaserumpun ini bakal tercapai pada masa hadapan, sejajar dengan teori pembauran linguistik dalam ruang lingkungan yang sama (areal diffusion).

Mengaitkan fenomena tersebut dengan sejarah Eropah, beliau menjadikan contoh bahasa Jerman Barat yang berpecah menjadi bahasa Belanda di daratan dan bahasa Inggeris di kepulauan. Ujar beliau,

Walaupun kedua-duanya berkembang mengikut trajektori berbeza dengan bahasa Inggeris banyak dipengaruhi oleh bahasa Latin dan Perancis, sementara bahasa Belanda di daratan masih banyak mempertahankan ciri-ciri ‘Jermanik’, kedua-duanya kembali bertaut dalam era kolonial dan perdagangan antarabangsa semasa Zaman Penjelajahan.

Beliau turut mengaitkan proses serupa dengan bahasa Latin yang setelah kejatuhan Empayar Rom melahirkan bahasa Itali, Sepanyol, Portugis dan Perancis.

“Setelah abad ke-16, diplomasi gereja telah memangkinkan peniruan dan peminjaman antara satu bahasa dengan yang lain,” katanya, sambil meramal bahawa nasib bahasa Melayu dan bahasa Indonesia juga berpotensi mengikuti jejak serumpun bahasa Latin dan Jerman tersebut.

Profesor Yudi menegaskan bahawa rumpun bahasa Austronesia memiliki ciri unik yang amat relevan dalam tamadun dunia masa ini, iaitu bersifat egalitarian dan inklusif. 

“Masyarakat di rantau ini hidup di antara kepulauan dan lautan kosmopolitan yang lebih demokratik, menjadikan bahasa dalam rumpun ini terbuka terhadap pertukaran dan perundingan,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa bahasa Melayu, sejak zaman Srivijaya, telah berfungsi sebagai bahasa dagang, berkembang daripada bahasa lisan kepada bahasa persuratan menggunakan aksara Pallava dan kemudiannya tulisan Jawi selepas kedatangan Islam.

“Istilah Arab, Turki dan Parsi yang dibawa masuk memperkayakan khazanah bahasa ini dan dikembangkan oleh kerajaan Melaka, Johor dan Riau,” katanya lagi.

Sebagai rekod, MABBIM ditubuhkan pada tahun 1972 (pada awalnya dikenali sebagai MBIM) sebagai forum kerjasama kebahasaan antara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Sejak itu, MABBIM berperanan sebagai lembaga rujukan dan koordinasi dalam penyusunan istilah, pengembangan tatabahasa serta pelestarian bahasa kebangsaan di negara anggota.

Seminar kali ini bertemakan “Peranan Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu dalam Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa”, menekankan kedudukan strategik kedua-dua bahasa dalam percaturan global sebagai instrumen diplomasi budaya, pendidikan dan politik luar negeri serta simbol identiti dan daya saing budaya Nusantara di pentas dunia.

Kredit Foto: Tangkap layar Seminar Kebangsaan Antarabangsa MABBIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi