Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta – Usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa serantau dan antarabangsa terus mendapat perhatian melalui pembentangan kertas kerja Malaysia dalam Sidang Kedua Seminar Kebahasaan Antarabangsa Majlis Bahasa Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia (MABBIM) semalam.

Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Encik Mohd Fadzli bin Tajuid menegaskan bahawa perlunya sebuah pangkalan data bahasa serantau MABBIM yang menghimpunkan maklumat linguistik daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam secara bersepadu.

Sidang tersebut dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP Malaysia, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP Malaysia, Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed.

Menurut Mohd Fadzli, pangkalan data serantau ini akan berperanan sebagai pusat rujukan bersama yang menyatukan istilah, makna dan penggunaan kata daripada tiga negara anggota dalam satu sistem bersepadu. 

“Kita memiliki lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di rantau ini. Potensi ini amat besar jika dimanfaatkan demi memperkukuh bahasa ini sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomasi dan bahasa teknologi,” ujarnya.

Beliau menambah, pembangunan pangkalan data tersebut penting untuk menyelaras maklumat bahasa serumpun dan menjadi asas terhadap pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta model bahasa besar (Large Language Model, LLM) bagi bahasa Melayu dan Indonesia.

“Semua naratif global kini berkaitan dengan AI, dan kekuatan model bahasa bergantung pada data. Justeru, kita perlu memastikan data bahasa serantau dapat diakses dan dimanfaatkan dengan lebih sistematik,” katanya.

Dalam pembentangannya, Mohd Fadzli turut mengemukakan cadangan model pembangunan pangkalan data berasaskan konsep perkongsian pintar antara tiga negara serumpun.

Beliau mencadangkan agar model itu dibangunkan secara berperingkat, iaitu bermula dengan pengumpulan dan penyelarasan sumber data sedia ada di setiap negara sebelum diintegrasikan dalam portal serantau MABBIM yang mesra pengguna dan boleh dihubungkan dengan sistem luar seperti Google Translate dan aplikasi pendidikan berteraskan digital.

Beliau turut merujuk beberapa contoh kejayaan pangkalan data bahasa antarabangsa seperti European Language Data Space (LDS) dan EuroTermBank yang menghimpunkan jutaan istilah daripada pelbagai bahasa di bawah Suruhanjaya Eropah, badan eksekutif pentadbiran Kesatuan Eropah. 

“Jika Eropah boleh membangunkan satu pangkalan data bahasa bersepadu, mengapakah tidak kita di bawah payung MABBIM melakukan perkara yang sama bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia?” tambahnya.

Dalam konteks nasional, Mohd Fadzli menyebut kekuatan yang dimiliki oleh setiap negara anggota, termasuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan Kamus Dewan Perdana di Malaysia, Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI Daring) yang kini mengandungi lebih 208,000 lema serta pelbagai daftar istilah dan kamus terbitan DBP Brunei.

Katanya lagi, penggabungan sumber linguistik ini bukan sahaja dapat memperkayakan kosa kata bahasa serumpun, malah memperkukuh kerjasama MABBIM dalam bidang diplomasi bahasa, penyelidikan linguistik dan inovasi digital.

“Apabila data bahasa dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam digabungkan dalam satu sistem bersepadu, gabungan data akan mewujudkan ekosistem bahasa serantau yang kukuh, memperteguh identiti dan kesatuan bahasa Melayu-Indonesia serta membuka ruang yang lebih luas dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi bahasa,” jelasnya.

Mengakhiri pembentangannya, Mohd Fadzli menyatakan harapan agar cadangan itu menjadi pemangkin kepada perjalanan baharu MABBIM dalam memperkasakan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia pada era digital.

“Inilah wadah untuk kita mengangkat bahasa serumpun sebagai bahasa ilmu, diplomasi, dan teknologi yang mampu berdiri setaraf dengan bahasa-bahasa dunia lain,” katanya.

Kredit Foto: Tangkap layar Seminar Kebangsaan Antarabangsa MABBIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi