Diterbitkan pada 4 November 2025, 07:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Pertandingan Pidato Celik Undang-undang (PICU) 2025 telah berlangsung di Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu menjadi medan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menyemai keberanian berhujah dalam kalangan generasi muda.

Program ini dianjurkan oleh Moot Club UniSZA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Kelab Orator Unit Bahasa Melayu (KOUBM) UniSZA. PICU telah berlangsung semalam.

Antara institusi pendidikan yang mengambil bahagian termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), UiTM Dungun, UiTM Kuala Terengganu, Politeknik Kota Bharu, Pusat Prauniversiti SMK Bukit Payong, Universiti Albukhary dan UniSZA sendiri.

Majlis penutup yang berlangsung petang tadi turut diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA, Prof. Madya Dr. Aminuddin bin Mustafa, Timbalan Pengarah Unit Promosi dan Penguatkuasaan DBP Wilayah Timur, Puan Nor Hidayah Ilias, Penasihat Moot Club UniSZA, Puan Murshamshul Kamariah binti Musa; serta Penasihat Kelab Orator Unit Bahasa Melayu UniSZA, Prof. Madya Dr. Abdullah bin Ibrahim.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Aminuddin menekankan bahawa pelajar undang-undang bukan sahaja perlu memahami peruntukan undang-undang, tetapi juga harus mampu menyampaikannya dengan jelas dan meyakinkan.

“Pidato adalah seni yang menuntut keilmuan, keberanian dan kejujuran hati. Dalam dunia profesion guaman, kemampuan berhujah bukan sekadar kelebihan, tetapi satu tanggungjawab. Hujah yang baik tidak lahir semata-mata daripada buku, tetapi daripada kefahaman yang mendalam serta niat yang tulus untuk menegakkan keadilan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup tersebut.

Beliau turut menambah bahawa pertandingan seperti PiCU perlu diteruskan dan diperluas agar menjadi platform tetap dalam kalendar akademik universiti.

Program seperti Pidato Celik Undang-undang bukan hanya tentang siapa yang menang atau siapa yang paling petah berbicara. Ia adalah proses pembelajaran yang menanam nilai-nilai penting dalam diri peserta. Dalam pertandingan ini, pelajar belajar erti disiplin, persediaan, keyakinan dan keberanian. Mereka belajar menghormati pendapat orang lain, berfikir sebelum berbicara, dan berjuang dengan hujah yang berasas, bukan emosi. Inilah nilai-nilai yang perlu diteruskan bukan hanya dalam pertandingan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

Nur Adriana Amira binti Mohd. Ridzuan dari USIM dinobatkan sebagai Johan pertandingan, diikuti Muhammad Soleh Wajdi dari UiTM Dungun sebagai Naib Johan dan Wan Nur Ilmi Hasanah dari UniSZA di tempat ketiga. Tiga peserta lain menerima hadiah sagu hati, iaitu Nurul Husna binti Hong Eng Yee dari SMK Bukit Payong,  Zaidatur Rahmah dari Universiti Albukhary, dan Nur Qistina Afrina binti Zaidi dari Politeknik Kota Bharu.

Program PICU 2025 bukan sahaja memperlihatkan keupayaan mahasiswa berhujah secara ilmiah, malah membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi wahana ilmu dan wacana undang-undang yang berwibawa.

Nur Adriana Amira binti Mohd. Ridzuan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima anugerah Johan Pertandingan Pidato Celik Undang-undang (PICU) 2025 di UniSZA.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi