Diterbitkan pada 4 November 2025, 21:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu − Pertandingan Pidato Celik Undang-undang (PICU) 2025  yang telah berlangsung di Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak petang semalam merupakan medan untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menyemai keberanian berhujah dalam kalangan generasi muda.

Program ini dianjurkan oleh Moot Club UniSZA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Kelab Orator Unit Bahasa Melayu (KOUBM), UniSZA.

Antara institusi pendidikan yang mengambil bahagian termasuklah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, UiTM Kuala Terengganu, Politeknik Kota Bharu, Pusat Prauniversiti SMK Bukit Payong, Universiti Albukhary dan UniSZA sendiri.

Dekan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA, YBrs. Profesor Madya Dr. Aminuddin bin Mustafa menekankan bahawa pelajar undang-undang bukan sahaja perlu memahami tentang peruntukan undang-undang, tetapi juga harus mampu menyampaikannya dengan jelas dan meyakinkan.

“Pidato ialah seni yang menuntut keilmuan, keberanian dan kejujuran hati. Dalam dunia profesion guaman, kemampuan berhujah bukan sekadar kelebihan, tetapi juga suatu tanggungjawab. Hujah yang baik tidak lahir semata-mata daripada buku, tetapi daripada kefahaman yang mendalam serta niat yang tulus untuk menegakkan keadilan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup tersebut.

Beliau turut menambah bahawa pertandingan seperti PICU perlu diteruskan dan diperluas agar menjadi platform tetap dalam kalendar akademik universiti.

“Program seperti PICU bukan hanya tentang siapa yang menang atau siapa yang paling petah berbicara. Lebih penting lagi, program seperti ini merupakan proses pembelajaran yang menanamkan nilai penting dalam diri peserta,” ujar beliau.

“Dalam pertandingan ini, pelajar belajar erti disiplin, persediaan, keyakinan dan keberanian. Mereka belajar menghormati pendapat orang lain, berfikir sebelum berbicara dan berjuang dengan hujah yang berasas, bukan dengan emosi. Inilah nilai yang perlu diteruskan bukan hanya dalam pertandingan, tetapi juga dalam kehidupan seharian,” tambah beliau lagi.

Nur Adriana Amira binti Mohd. Ridzuan dari USIM dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Muhammad Soleh bin Wajdi dari UiTM Dungun sebagai naib johan dan Wan Nur Ilmi Hasanah dari UniSZA di tempat ketiga.

Tiga peserta lain yang menerima hadiah sagu hati ialah Nurul Husna Hong Eng Yee dari SMK Bukit Payong,  Zaidatur Rahmah dari Universiti Albukhary dan Nur Qistina Afrina binti Zaidi dari Politeknik Kota Bharu.

Majlis penutup yang berlangsung petang tadi turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Unit Promosi dan Penguatkuasaan DBP Wilayah Timur, Puan Nor Hidayah binti Ilias, Penasihat Moot Club UniSZA, Puan Murshamshul Kamariah binti Musa serta Penasihat Kelab Orator Unit Bahasa Melayu UniSZA, YBrs. Profesor Madya Dr. Abdullah Ibrahim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi