Diterbitkan pada 5 November 2025, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu–Pertandingan Eksplorasi STREAM 2025 berjaya membuktikan bahawa pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman mencabar yang menggabungkan strategi dan kecerdikan berbahasa. Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi ruang kepada peserta untuk melakukan aktiviti riadah, malah turut menguji tahap penguasaan bahasa mereka.

Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA telah berlangsung di Tapak Ekspo Konvokesyen ke-17, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Program ini disertai oleh pelajar UniSZA yang mewakili fakulti masing-masing dalam kumpulan sebanyak lima orang. Program ini turut dibantu oleh beberapa orang fasilitator yang merupakan pelajar daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Terengganu.

Yang menariknya, pertandingan ini membawa pendekatan berbeza daripada aktiviti akademik biasa iaitu menggabungkan elemen fizikal dan kemahiran berbahasa dalam satu bentuk cabaran yang santai di setiap stesen. Bagi tugasan pertama, peserta perlu menyelesaikan cabaran fizikal yang memerlukan kerjasama berkumpulan serta kemahiran berfikir dengan pantas. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk menyusun sembilan paku di atas satu paku, melepasi lingkaran kertas tanpa terkoyak, memasukkan bola pingpong ke dalam gelas, membina menara belon, dan menerbangkan kapal kertas. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencabar kemahiran penyelesaian masalah peserta malah turut menguji komunikasi antara ahli kumpulan.

Sementara itu, bagi tugasan kedua, peserta perlu menunjukkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Melayu melalui pelbagai permainan bahasa seperti menyambung peribahasa, meneka simpulan bahasa berdasarkan lakonan rakan, menilai keupayaan peserta mengenal pasti ejaan yang sering disalah tulis, memberikan sinonim perkataan, serta membentuk perkataan baharu daripada perkataan “kejuruteraan.” Aktiviti ini secara tidak langsung menggalakkan penggunaan dan penghayatan bahasa Melayu dalam suasana yang menyeronokkan.

Program ini melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Hidayah Ilias, iaitu Timbalan Pengarah Unit Promosi dan Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Peserta program yang terdiri daripada pelajar UniSZA yang mewakili fakulti masing-masing bergambar kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi