Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) telah menganjurkan Perkampungan Bahasa untuk 75 orang siswa guru Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) bidang Bahasa Melayu di Teratak D’Pahlawan, Kuala Kangsar, Perak pada 31 Oktober hingga 2 November 2025.
Program tiga hari dua malam yang bermatlamat untuk meningkatkan jati diri siswa guru sebagai bakal pendidik Bahasa Melayu di samping mengeratkan silaturahim antara mereka dan para pensyarah telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan sangat bermakna, dikendalikan sepenuhnya oleh sebelas orang ahli jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu (Perbayu) yang terdiri daripada pelajar senior Bahasa Melayu.

Dalam ucapan perasmian penutupan, YBrs. Dr. Khairuddin bin Said mengucapkan tahniah kepada pensyarah JPM yang sanggup berkorban masa hujung minggu untuk menjayakan aktiviti yang telah dirancang demi melahirkan siswa guru yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan dalam dunia yang serba mencabar.
Dalam perkongsian Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), YBrs. Dr. Mohd. Razip bin Bajuri berkata kepentingan guru menguasai ilmu inovasi pendidikan agar mempunyai hala tuju yang jelas dalam bidang pendidikan serta sentiasa menambah kemahiran dalam aspek bahan pengajaran dan pembelajaran demi manfaat anak murid kelak.

Terdahulu dalam ucapam alu-aluan Ketua Jabatan JPM, YBrs. Dr. Siti Hajar binti Idrus turut menzahirkan rasa gembira kerana program yang dirancang telah berjaya dilaksanakan atas komitmen semua pihak yang terlibat, sekali gus memberikan peluang kepada siswa guru yang baru saja melangkahkan kaki sebagai pelajar IPGKPI bidang bahasa Melayu berpeluang secara langsung berinteraksi dalam gerak kerja aktiviti merentas tiga buah kelas yang diuruskan dengan jayanya oleh pelajar PISMP yang lebih berpengalaman.
Menurut saudara Muhammad Aiman bin Hashim, yang mengetuai fasilitator berasa sangat teruja atas peluang mengendalikan aktiviti sepanjang program yang telah memberikan peluang kepada dirinya dan 10 orang lagi rakannya untuk berkongsikan pengalaman dengan siswa guru yang lain serta mengasah bakat kepimpinan mereka kerana beliau sedar bahawa dalam ekosistem pendidikan, semangat sepasukan yang tinggi sangat diperlukan seterusnya memberikan impak lebih besar kerana siswa guru dalam mengenal hati budi rakan yang akan menjadi penggerak aktiviti kebahasaan di kampus.
