Diterbitkan pada 10 November 2025, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa bahasa kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuklah surat-menyurat dokumen, komunikasi, penamaan program, dan majlis rasmi dalam urusan Perkhidmatan Awam.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBP hari ini, masih wujud kecenderungan dalam kalangan agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing secara berlebihan, termasuklah penggunaan nama atau slogan program yang sepenuhnya dalam bahasa asing.

Tindakan sedemikian tidak selari dengan aspirasi Kerajaan dan citra kebangsaan, malah memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang giat dilaksanakan.

Selain itu, penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi tidak selari dengan penegasan Kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) antaranya yang bertarikh 29 Oktober 2025. Surat edaran tersebut menjelaskan bahawa semua urusan rasmi kerajaan termasuklah program, aktiviti, dan projek yang dianjurkan atau diurus hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

“Penegasan ini turut selari dengan teguran berterusan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan sedia ada. Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan termasuklah surat-menyurat merupakan satu indakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh disifatkan sebagai usaha menjatuhkan martabat bahasa Melayu,” jelas DBP.

Dalam kenyataan itu lagi, DBP menjelaskan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran tetapi merupakan simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang wajib dipertahankan dan perlu dimartabatkan pada semua peringakat Perkhidmatan Awam.

DBP sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sentiasa bersedia membantu meningkatkan taraf bahasa Melayu pelbagai pihak yang memerlukan.

DBP juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kementerian atau kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar bahasa kebangsaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi