Diterbitkan pada 13 November 2025, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – “Bukan membincangkan iramanya, tetapi bahasanya.” Demikian inti pati Wacana Sahabat Kata yang bertajuk “Bahasa dalam Lagu” yang berlangsung semalam, menghimpunkan tiga figura penting dalam dunia bahasa, seni dan muzik tanah air, iaitu sarjana dan sasterawan tersohor, YBhg. Profesor Datuk Dr. Lim Swee Tin, maestro syair dan seniman rakyat, Roslan Madun serta komposer muda berbakat, Ikhwan Fatanna.

Ketiga-tiga panel mewakili tiga generasi dengan perspektif yang berbeza, namun berkongsi satu kesepakatan, iaitu bahasa Melayu ialah jiwa yang menghidupkan lagu, membentuk emosi dan mencerminkan identiti bangsa. Sesi wacana telah dipengerusikan oleh Encik Zharif Zhafri bin Aziz Desa.

Forum dimulakan dengan mengetengahkan tema utama, iaitu bahasa bukan hanya menjadi saluran hiburan, tetapi wahana falsafah, budaya dan cara fikir masyarakat Melayu.

Tokoh sarjana, YBhg. Profesor Datuk Dr. Lim Swee Tin membuka bicara dengan mengimbau latar kehidupannya yang dibesarkan dalam persekitaran Melayu meskipun berketurunan Cina-Siam. Menurutnya, kecintaan terhadap bahasa Melayu tumbuh secara organik kerana sejak kecil beliau dikelilingi seni tradisi seperti wayang kulit, mak yong dan pelbagai permainan rakyat yang sarat dengan bahasa indah serta estetika halus. “Saya bukan saja menuturkan bahasa Melayu, saya menjiwainya,” katanya.

YBhg. Profesor Datuk Dr. Lim Swee Tin.

Mengulas peranan bahasa dalam lagu, beliau menegaskan bahawa lirik lagu Melayu sejak dahulu dipenuhi mesej yang mendidik, membina dan memupuk jati diri bangsa.

Lagu rakyat, lagu patriotik dan lagu cinta sekalipun, hal tersebut membawa naratif nilai, moral dan budaya yang terpancar melalui pemilihan kata yang halus.

Lagu kita bukan sekadar hiburan. Bentuk seni sebegini dapat mendidik emosi dan mempengaruhi masyarakat,” jelasnya sambil menekankan peranan besar lagu sebagai pemangkin patriotisme.

Seniman rakyat, Roslan Madun pula membawa perspektif tradisional. Beliau menerangkan tentang hakikat puisi tradisional seperti syair, gurindam dan nazam bukan sekadar ilham spontan, tetapi berteraskan kebenaran, kewarasan akal dan martabat ilmu.

“Bahasanya tidak boleh semborono,” tegasnya.

Seniman rakyat, Roslan Madun.

Roslan menjelaskan bahawa puisi tradisional menjadi akar bagi kesusasteraan moden, lalu berkembang menjadi pelbagai bentuk seperti pantun, zikir, dondang sayang serta lagu rakyat yang terus memelihara keindahan bahasa tinggi.

Beliau menegaskan empat perkara penting bagi mempertahankan keindahan bahasa dalam lirik lagu, iaitu seni harus dilihat sebagai perjuangan dan ibadat, bukan hiburan semata-mata; lirik tidak boleh terlalu berterus terang dan perlu mengutamakan metafora; pantun serta kearifan tempatan wajar dijadikan asas; dan penggunaan bahasa rojak perlu dielakkan.

“Kalau penulis lirik atau komposer berpegang pada empat perkara ini, bahasa Melayu dalam lagu, termasuk lagu moden, akan terus indah,” ujarnya.

Generasi baharu diwakili komposer dan penyanyi Ikhwan Fatanna yang berkongsi perjalanan peribadinya meninggalkan kerjaya tetap demi memberikan tumpuan terhadap seni muzik.

Panel yang mewakili generasi muda, Ikhwan Fatanna.

Beliau berkata, ada ketika lagu ciptaannya memerlukan kompromi antara kehendak industri dengan iltizam menjaga mutu bahasa. Namun bagi Ikhwan, kejayaan lagu “Biiznillah” membuktikan bahawa lirik yang baik tetap mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

Walaupun pendengar bukan Muslim, mereka tetap merasai gelombang positif. Lagu itu karangan bahasa yang mengikat emosi,” katanya.

Ikhwan menambah bahawa proses kreatif mengajarnya disiplin, dedikasi dan tanggungjawab sosial kerana setiap perkataan dalam lirik mempunyai kesan terhadap masyarakat.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi