Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Usaha mentafsir istilah yang digunakan dalam perundangan syariah perlu digiatkan agar mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat demi memartabatkan bahasa kebangsaan.
Demikian isu yang diketengahkan dalam forum yang bertajuk, “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Mahkamah Syariah: Cabaran Kini dan Mendatang” bersempena dengan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah yang mengangkat tema “ Merakyatkan Undang-undang, Memartabatkan Bahasa Kebangsaan” yang dikendalikan oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Abdul Ghani bin Abu.
Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Sarawak, YBrs. Tuan Haji Muhammad Syarifuddin bin Haji Abdul Kadir berkata, dalam penyebaran fatwa di negeri Sarawak bahasa Melayu sering digunakan, namun istilah yang sukar diterjemahkan perlu dinyatakan dalam bahasa tempatan dengan menggunakan huruf condong bagi perkataan tersebut.
Tambah beliau, bahasa Melayu berperanan sebagai teras dalam menjadikan fatwa tersebut relevan agar dapat difahami dan diaplikasi secara praktikal.
Walau bagaimanapun, terdapat jurang dari sudut terminologi atau kepakaran penulisan undang-undang serta cabaran komunikasi digital. Hal ini memerlukan semua pihak mengambil cakna tentang perkara tersebut agar tidak berlaku kesalahfahaman.
Kita mengharapkan agar pada masa akan datang setiap yang diputuskan melalui Lembaga Fatwa Sarawak akan terus melibatkan peranan DBP sebagai pengatur bahasa supaya hal tersebut dapat difahami oleh masyarakat. Kita juga berperanan bagi memartabatkan bahasa Melayu dan sebagai warganegara perlu berbangga kerana mempunyai bahasa yang mantap.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Guaman Sarawak, YBrs. Puan Zubaidah binti Sharkawi memaklumkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa undang-undang perlu disertakan dengan kemahiran dan latihan khusus kepada pegawai ataupun peguam yang mengendalikan kes supaya peranan bahasa Melayu sebagai wadah penyampaian keadilan berkesan bagi seluruh masyarakat khususnya di Sarawak.
Dalam hal ini, beliau berpendapat bahawa masyarakat yang menggunakan bahasa ibunda seperti Iban, Bidayuh dan Melanau akan menjadi cabaran terbesar bagi agensi untuk menyampaikan maklumat undang-undang agar tidak salah tafsir.

Mereka tidak mahu menggunakan bahasa Melayu, jadi kita perlu mencari jalan bagi memastikan bahasa Melayu dapat digunakan di mahkamah Malaysia lebih-lebih lagi mahkamah syariah.
DBP dan institusi latihan perundangan Islam dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan,” jelas beliau.
Peguam Negeri, Jabatan Peguam Besar Negari Sarawak, YBrs. Tuan Haji Khairul Anwar bin Sazali berkata dalam prosiding mahkamah, sering kali terjadi sama ada plantif atau defendan tidak fasih berbahasa Melayu atau kurang faham bahasa Inggeris, kecuali bahasa adat masing-masing kerana tidak ada jurubahasa.
Oleh hal yang demikian, beliau menyatakan tentang keperluan jurubahasa seperti guru bahasa Melayu yang bertugas di pedalaman. Hal ini demikian kerana mereka golongan ini mempunyai pengetahuan tentang bahasa adat dan juga bahasa Melayu.
“Adakala hal ini boleh menimbulkan satu tohmahan kepada plantif atau defendan yang menjemput sendiri jurubahasa untuk memberi keterangan di mahkamah syariah. Jurubahasa ini kemudiannya menterjemahkan apa-apa yang dikatakan oleh plantif. Hal ini boleh menimbulkan syak wasangka,” katanya lagi.