Diterbitkan pada 18 November 2025, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – “Apabila bahasa dan kepakaran teknikal berjalan seiring, hasilnya bukan sahaja meningkatkan kualiti pendidikan, tetapi hal demikian juga mampu memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar (PUO), Encik Nik Mohd. Iznan bin Tuan Yaakub dalam majlis Anugerah Akademia POLYCC (Politeknik dan Kolej Komuniti) di Dewan Jubli Perak PUO, semalam.

Beliau yang memenangi Anugerah Akademia POLYCC bagi kategori Anugerah Bahasa Melayu Sektor Teknikal PUO itu turut menyatakan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya sendi tamadun bangsa yang mampu membentuk pemikiran kreatif dan kritis.

Encik Nik Mohd. Iznan bin Tuan Yaakub (dua dari kanan) ketika menerima Anugerah Akademia POLYCC Politeknik Ungku Omar (PUO) kategori Anugerah Bahasa Melayu Sektor Teknikal PUO, yang disampaikan oleh Pengarah PUO, YBrs. Dr. Hajah Salmi binti Che Meh, semalam.

Anugerah tersebut diberikan atas jasa serta sumbangan beliau dalam kegiatan pengajaran, penulisan, pembangunan modul akademik dan aktiviti kreatif yang menghubungkan bahasa Melayu dengan disiplin teknikal di politeknik berkenaan.

Mengulas lanjut berkaitan dengan anugerah yang diterimanya, beliau berharap pengiktirafan tersebut dapat menjadi inspirasi terhadap generasi muda terutamanya pelajar dan golongan profesional untuk menghargai bahasa kebangsaan dalam pembangunan ilmu dan kemahiran teknikal.

Selain menjadi seorang pendidik, Ketua Bidang Pembinaan dan Ukur Binaan itu juga merupakan seorang penulis dan penyair yang telah menghasilkan lebih 1000 karya yang diterbitkan dalam bentuk buku, esei, cerpen, puisi, biografi dan artikel.

Beliau juga telah menghasilkan 16 buah buku persendirian, antaranya termasuklah Jalan Baru (2006), Esprit de Corps’ (2008), Dari Lensa Kata (2023), Selesaikan Isu Sampah secara Holistik dan Esei-esei Lain (Tinta Nasuha, 2024) dan Masuk ke dalam Hujan (PENA, 2025).

Beberapa karya beliau turut diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil, bahasa Inggeris dan bahasa Thai selain pernah digunakan dalam sukatan pelajaran sekolah menengah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain itu, beliau juga pernah diundang sebagai panel dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Republik Indonesia (RRI) bagi membicarakan topik perkembangan bahasa Melayu dan sastera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi