Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kekuatan ekonominya, tetapi turut bergantung pada kemampuan mempertahankan identiti bangsa melalui bahasa dan budaya.
Demikian penegasan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), YBhg. Dato’ Sri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dalam ucapannya pada Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2025 yang berlangsung di Sasana Kijang pada Rabu yang lalu.
Menurut beliau, sesebuah negara maju mendefinisikan kejayaan berdasarkan adat, sejarah dan bahasa sendiri. Justeru, bahasa Melayu sebagai bahasa pertiwi perlu terus dipelihara sebagai wahana pemikiran, budaya dan warisan tanah air.
“Sebagai pengawal selia, BNM sentiasa komited untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kewangan yang terbaik dan terangkum tanpa halangan bahasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam meningkatkan literasi kewangan rakyat. Hal ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Garis Panduan Ketelusan dan Penzahiran Produk yang mewajibkan institusi kewangan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam penzahiran maklumat produk.
Langkah tersebut, katanya bertujuan memudahkan pengguna memahami kesesuaian produk, seterusnya membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
“Dengan laras bahasa yang mudah difahami, setiap rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan institusi kewangan dengan lebih dekat dan berkesan,” ujarnya.
BNM turut bekerjasama rapat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta rakan strategik yang lain dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bahasa. Antara program utama yang diberi perhatian termasuklah Sistem Penarafan Bintang yang diperkenalkan pada 2016 bagi menjalankan audit bahasa ke atas institusi kewangan.
Tambah beliau lagi, audit berkala itu menunjukkan peningkatan yang menggalakkan sekali gus mencerminkan komitmen institusi kewangan bagi mempertingkatkan mutu bahasa dalam urusan harian.
“Saya berharap semua institusi kewangan akan terus menambah baik mutu bahasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.
Pertandingan Pidato Piala Gabenor, yang mula diperkenalkan pada 2009 turut menjadi antara inisiatif bahasa yang menerima sokongan meluas daripada sektor kewangan. Sepanjang 13 siri penganjurannya, pertandingan tersebut berjaya menarik lebih 800 penyertaan warga institusi kewangan.
Menurut Abdul Rasheed, beliau bangga melihat beberapa institusi kewangan mulai menganjurkan versi pertandingan pidato dan program kebahasaan mereka sendiri.
“Usaha ini menunjukkan institusi kewangan semakin proaktif dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu bermutu tinggi. Syabas atas semangat demi memartabatkan bahasa kebangsaan,” tambah beliau lagi.
Gabenor turut menyeru lebih banyak institusi kewangan menggandakan penganjuran aktiviti kebahasaan pada masa hadapan. Beliau percaya inisiatif sedemikian dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang lebih baik dalam komunikasi bersama-sama pelanggan dan dalam urusan sektor kewangan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Pertandingan Pidato Piala Gabenor boleh diperhebat dengan pelibatan lebih luas pihak industri dalam penganjurannya. “Bahasa Melayu perlu terus menjadi nadi dalam setiap urusan, sejajar dengan identiti dan kemajuan negara,” tegasnya.