Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Mahasiswa jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh (SKPP) telah melaksanakan sebuah program intervensi bagi meningkatkan tahap penguasaan tatabahasa bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun enam.
Program intervensi tersebut memberikan tumpuan khusus kepada topik kata majmuk, iaitu antara aspek tatabahasa yang sering mengelirukan murid, terutamanya dari segi penggunaan tanda sempang, perbezaan maksud serta ejaan atau struktur kata majmuk.
Sebanyak lima orang mahasiswa UIAM terlibat sebagai fasilitator dan pembangunan modul, diketuai oleh Muhammad Sufi Murtadha Mohd Supian.
Program ini dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada 7 November 202 5dan 5 Disember 2025, melibatkan penyertaan sebanyak 40 orang murid tahun enam.
Menurut Muhammad Sufi, inovasi berbentuk gamifikasi berasaskan aplikasi Zep Quiz merupakan pendekatan pembelajaran yang berupaya menarik minat murid untuk memahami tatabahasa dengan lebih fleksibel dan interaktif.
“Gamifikasi ini menyediakan soalan latihan yang disertai nota ringkas bagi memudahkan murid membuat ulang kaji kendiri.
“Penggunaan avatar yang boleh diubah suai, animasi grafik dan elemen interaktif lain menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan serta sejajar dengan Pembelajaran Abad Ke-21,” katanya.
Ujian ringkas yang dijalankan sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan ketara dalam kefahaman murid, sejajar dengan objektif intervensi, iaitu memperkukuh aspek tatabahasa melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.
Menurutnya lagi, program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada murid, malah membuka ruang kepada mahasiswa UIAM untuk mengaplikasikan teori tatabahasa dan kemahiran komunikasi dalam situasi sebenar.
Kerjasama ini juga mencerminkan kesungguhan universiti dan sekolah bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat, iaitu Pendidikan Berkualiti serta SDG ke-17, iaitu Kerjasama untuk Mencapai Matlamat, dalam konteks pembangunan komuniti setempat.
Pihak penganjur berharap program ini dapat diperluas kepada topik lain seperti imbuhan, frasa dan struktur ayat, serta diperkenalkan ke lebih banyak sekolah di sekitar Pagoh sebagai inisiatif berterusan bagi memperkukuh literasi bahasa Melayu.