Diterbitkan pada 10 Disember 2025, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegaskan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu dalam sektor awam perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penegasan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari melalui kenyataan rasmi di laman media sosial organisasi berkenaan.

Menurut beliau, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan wajib digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Oleh hal yang demikian, Dr. Hazami menekankan bahawa segala bentuk pengurusan kerajaan, termasuklah dalam penulisan dokumen, penyediaan laporan, minit mesyuarat, pemaparan maklumat kepada umum, pengendalian majlis serta penamaan tempat atau premis, hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Beliau menjelaskan bahawa ketetapan ini turut diperkukuh melalui pekeliling DBP yang memberikan penekanan terhadap pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan di jabatan dan sektor awam.

Pekeliling tersebut mengingatkan semua ketua agensi, ketua kementerian, ketua jabatan pada peringkat negeri dan persekutuan supaya mengutamakan penggunaan bahasa Melayu bagi setiap penyampaian maklumat serta urusan rasmi.

“Pemerkasaan bahasa kebangsaan perlu dipraktikkan dalam urusan mesyuarat, perbincangan, penulisan minit, laporan, notis dan juga pengacaraan majlis yang dianjurkan kerajaan, sama ada pada peringkat antarabangsa atau dalam negara,” katanya.

Mengulas tentang urusan yang melibatkan tetamu antarabangsa, Dr. Hazami menjelaskan bahawa bahasa Melayu tetap perlu diberi keutamaan sebagai bahasa kebangsaan. Sekiranya perlu, perkhidmatan penterjemahan boleh disediakan bagi memastikan kefahaman semua pihak tanpa mengabaikan martabat bahasa negara.

“Tidak ada ruang untuk kita meletakkan bahasa kebangsaan di pinggir bagi urusan rasmi kerajaan kerana peraturan dan undang-undangnya jelas,” tegas beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Dr. Hazami turut menyebut bahawa Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah beberapa kali mengingatkan agensi kerajaan agar mengekalkan komitmen tinggi demi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Menurutnya, tanpa iltizam dan kesungguhan ketua agensi serta ketua jabatan, usaha memperkasakan bahasa Melayu tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di sektor awam.

Sebagai badan penggerak utama pemartabatan bahasa kebangsaan, DBP komited membantu kementerian, agensi awam, pihak berkuasa tempatan, masyarakat serta sektor swasta bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu diperkukuh dan dilaksanakan mengikut standard yang betul.

“DBP menyediakan Program Audit Bahasa Kebangsaan untuk kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dipatuhi dalam semua urusan rasmi,” jelas Dr. Hazami.

Selain itu, DBP turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui Program Penarafan Bintang, yang memberikan pengiktirafan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan bagi penyampaian maklumat dan pengurusan masing-masing.

Dr. Hazami menegaskan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan merupakan lambang jati diri negara dan cerminan rasa hormat terhadap identiti kebangsaan.

“Kita perlu menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, sama ada bersifat antarabangsa atau kebangsaan. Jika kita sendiri tidak menggunakannya, siapa lagi yang akan mendaulatkan bahasa kebangsaan kita?” katanya.

Menurut beliau, usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan sedang giat diperkukuh bagi memastikan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan inklusif. Pendekatan ini merangkumi pemantapan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, pengembangan bahan ilmu dan pengukuhan budaya bahasa dalam masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi