Diterbitkan pada 13 Disember 2025, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kebangsaan negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi pembinaan negara bangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBP menegaskan bahawa pendirian Perdana Menteri itu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mewajibkan penggunaannya dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Menurut DBP, sebarang pengiktirafan terhadap sistem pendidikan yang tidak selari dengan kurikulum kebangsaan, tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium utama pengajaran serta tidak menduduki peperiksaan kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), berpotensi menjejaskan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan nasional.

“Kerajaan selama ini berusaha membina suatu sistem pendidikan yang inklusif dan berteraskan nilai kebangsaan,” katanya.

DBP turut menyeru semua pihak agar bersama-sama mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai tunjang perpaduan rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan, tegas DBP, bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya merupakan lambang identiti, jati diri dan kedaulatan negara yang wajib dipelihara serta dihormati oleh semua warganegara.

Dalam kenyataan sama, DBP menyatakan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat umum bagi memperkukuh penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat. Usaha ini, menurut DBP, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai perpaduan, keterangkuman dan keadilan sosial.

Kenyataan DBP itu dikeluarkan susulan penegasan Perdana Menteri selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, semalam, apabila beliau menekankan bahawa tuntutan sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Anwar menegaskan kepentingan memantapkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan lain, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) atau peningkatan penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua aliran masyarakat, termasuk aliran Cina, Tamil dan Inggeris, perlu menguasai bahasa Melayu sebagai syarat asas dalam pembinaan negara bangsa. Menurut Perdana Menteri, prinsip bahasa kebangsaan hendaklah diutamakan dalam setiap perbincangan berkaitan dasar bahasa negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi