Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Gambir – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan kerjasama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chian Kuo, Bukit Gambir telah mengadakan sesi pembelajaran berasaskan gamifikasi ZEP bagi membantu murid Cina meningkatkan penguasaan kata adjektif Bahasa Melayu.
Dalam ucapan alu-aluan Guru Besar SJKC Chian Kuo, Puan Ko menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan gamifikasi ini sangat bermanfaat terutama kepada murid Cina kerana penggunaan visual dan permainan interaktif menjadikan tatabahasa bahasa Melayu lebih mudah difahami.

Program ini dilaksanakan oleh mahasiswa UIAM Kampus Pagoh daripada Kursus Komunikasi Pengantaraan Komputer dengan bimbingan YBrs. Dr. Azean Idruwani selaku pensyarah kursus tersebut. Mahasiswa yang terlibat menyediakan video pembelajaran serta melaksanakan aktiviti interaktif menggunakan permainan gamifikasi ZEP bagi menilai kefahaman murid terhadap topik yang dipelajari sebelum dan selepas pembelajaran.
Menurut Alisha Sofiya selaku ketua kumpulan, penggunaan gamifikasi ZEP memberikan kelebihan yang besar terhadap pembelajaran Bahasa Melayu.
Katanya,
Kaedah gamifikasi membantu murid memahami kata adjektif dengan lebih cepat kerana mereka belajar sambil bermain.
Aktiviti interaktif dan visual dalam ZEP menjadikan konsep tatabahasa lebih mudah difahami, khususnya bagi murid yang biasanya sukar mengikuti pembelajaran secara konvensional.
Sambutan dan pelibatan aktif murid sepanjang pembelajaran menunjukkan kerjasama yang baik serta minat mereka yang mendalam terhadap pembelajaran yang berasaskan gamifikasi ini. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh usaha memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara kreatif di sekolah.