Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Merlimau – Dalam era penyampaian maklumat yang pantas dan berkesan, kemahiran menulis bukan lagi menjadi pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan. Menyedari kepentingan tersebut, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Penulisan Buletin Siri 1 secara dalam talian pada 17 Disember 2025 dengan penyertaan pensyarah daripada pelbagai jabatan dan unit.

Penganjuran kursus ini merupakan usaha berterusan untuk memperkasa kemahiran penulisan serta memupuk budaya menulis dalam kalangan warga akademik.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Merlimau Melaka, iaitu Puan Faridatuljana  Mohd Noor.

Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penulisan buletin sebagai medium strategik dalam mendokumentasi aktiviti, menyebarkan maklumat serta memperkukuh imej institusi pada peringkat dalaman dan luaran.

Pengisian kursus menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, iaitu Puan Nurul Julia Alani Henry sebagai penceramah jemputan yang berkongsi kepakaran serta pengalaman beliau dalam bidang penulisan.

Sepanjang sesi, peserta didedahkan dengan asas penulisan buletin yang meliputi struktur penulisan, penggunaan bahasa yang tepat dan berkesan, serta teknik penyampaian maklumat yang jelas dan menarik.

Menurut beliau,

Penulisan buletin bukan sekadar melaporkan peristiwa, sebaliknya perlu mencerminkan ketepatan bahasa, kejelasan maklumat dan pemikiran yang tersusun. Penulisan yang baik akan meningkatkan kredibiliti penulis dan institusi yang diwakilinya.”

Beliau turut menggalakkan para peserta untuk menyalurkan hasil penulisan mereka ke Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya dalam JendelaDBP dan Wadah DBP, sebagai medium perkongsian ilmu dan amalan penulisan berkualiti.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk mendedahkan pensyarah kepada penulisan buletin secara sistematik di samping menggalakkan pembudayaan amalan penulisan dalam kalangan warga akademik. Usaha ini selaras dengan peranan institusi pendidikan tinggi dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti dalam konteks akademik dan profesional.

Penganjuran Kursus Penulisan Buletin Siri 1 ini  dilihat menjadi medium dalam usaha menyemai minat dan keyakinan pensyarah untuk terus berkarya dan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak penulisan bermutu tinggi. Yang paling penting, kursus penulisan ini turut menyokong agenda pemerkasaan bahasa Melayu melalui medium penerbitan buletin oleh institusi pendidikan seperti politeknik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi