Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Satu program pembelajaran menggunakan platform permainan interaktif, Blooket telah dijalankan bagi membantu pelajar Kolej Vokasional Pagoh meningkatkan penguasaan ortografi bahasa Melayu. Sebanyak lima orang mahasiswa jurusan Bahasa Melayu Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh bertindak sebagai fasilitator, manakala 28 orang pelajar Kolej Vokasional Pagoh yang mengikuti Kursus Seni Bina Landskap dipilih sebagai peserta. Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat, iaitu memastikan pendidikan berkualiti.
Pendekatan pengajaran yang digunakan oleh mahasiswa UIAM ini berteraskan pedagogi interaktif yang disesuaikan dengan prinsip heutagogi, iaitu pembelajaran kendiri yang menekankan pelibatan aktif pelajar dan pembelajaran bermakna. Pendekatan ini sangat relevan dengan keperluan pelajar vokasional yang lebih cenderung mengikuti pembelajaran secara amali berbanding dengan sekadar teori.
Program yang turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada guru Bahasa Melayu Kolej Vokasional Pagoh, iaitu Puan Nur Syahira Hamzah ini dijalankan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan sesi pengenalan diri dan penulisan karangan pendek bagi mengenal pasti kesilapan ortografi dalam kalangan pelajar. Manakala fasa kedua pula memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap permainan Blooket. Pelajar diberi peluang untuk bermain tiga jenis permainan berbeza yang terkandung dalam platform Blooket.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar menunjukkan reaksi positif terhadap penggunaan Blooket dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Saya berasa teruja kerana lazimnya Bahasa Melayu dipelajari secara teori daripada buku. Apabila bermain permainan ini, saya rasa seronok dan senang untuk faham. Sambil bermain, kita boleh nampak kesilapan sendiri. Pembelajaran lebih mudah untuk difahami dan diberikan perhatian. Kalau belajar bersendirian, kadang kala susah untuk fokus, tetapi dalam bentuk permainan, lebih menarik dan mencabar.
Secara keseluruhannya, inisiatif seumpama ini wajar diteruskan dan diperluas agar pembelajaran Bahasa Melayu kekal relevan dan menarik khususnya dalam kalangan anak muda.
