Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuar – Sebanyak lima orang pelajar Kursus Komunikasi Perantaraan Komputer dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh telah melaksanakan sesi pembelajaran dan penyelidikan berasaskan gamifikasi digital di Darina Autism Care Centre, Muar, semalam yang bertujuan untuk menilai keberkesanan pendekatan tersebut dalam memperkukuh penguasaan kosa kata Bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak autisme.
Menurut YBrs. Puan Azalina, iaitu guru merangkap pengusaha pusat berkenaan, kanak-kanak yang terlibat terdiri daripada tahap sederhana dan tinggi, namun begitu masih mempunyai tingkah laku mencabar serta keupayaan komunikasi yang berbeza.
Anak autisme kadangkala memerlukan aktiviti berulang-ulang untuk mencapai sesuatu objektif. Tidak semua boleh bercakap dan ada cabaran dari segi kefahaman.
Dua orang pelajar petah bertutur namun hanya menggunakan bahasa Inggeris, manakala empat orang lagi bersikap pasif. Melalui permainan digital interaktif berasaskan PowerPoint yang disesuaikan sepenuhnya mengikut keperluan pelajar, empat daripada enam orang pelajar menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan kosa kata Bahasa Melayu. Antara kemajuan yang direkodkan termasuk kebolehan mengeja, menyusun gambar, mengenal pasti haiwan serta melakukan padanan gambar–perkataan, termasuk oleh seorang pelajar non-verbal.

Dua orang pelajar lain kurang memberi tumpuan dan lebih cenderung berada dalam dunia sendiri, manakala beberapa episod tantrum turut berlaku. Walau bagaimanapun, sesi pembelajaran kekal terkawal dan dapat dijalankan dengan lancar.
Pihak Darina Autism Care Centre menyambut baik inisiatif ini dan menekankan kepentingan pendekatan pembelajaran yang fleksibel serta mesra sensitiviti pelajar berkeperluan khas. Hasil kajian ini turut memberi gambaran bahawa strategi digital yang disesuaikan dengan keperluan kanak-kanak autisme mampu menjadi alat pedagogi yang lebih efektif dan inklusif.