Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDunia pada masa ini yang dipenuhi dengan pendigitalan dan penstriman sedikit banyak telah menggugat peranan radio. Namun demikian, radio sebenarnya masih kekal relevan dan terus menjadi pilihan masyarakat di negara kita untuk mendapatkan maklumat semasa ataupun sekadar melayan celoteh penyampai radio sambil mendengar lagu kegemaran, terutamanya ketika berada di dalam kenderaan. Oleh sebab itulah, radio yang sering dilabel sebagai media konvensional dan kurang diminati oleh golongan muda sebenarnya masih memainkan peranan yang signifikan, khususnya bagi menyalurkan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat. Satu daripada peranan radio yang wajar diberi perhatian ialah fungsinya demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sejarah penciptaan radio di dunia bermula pada tahun 1896 apabila alat tersebut dicipta oleh saintis terkenal, Guglielmo Marconi. Di negara kita pula, sejarah radio bermula apabila seorang jurutera elektrik kerajaan Johor, Al Birch membawa masuk set radio pertama ke Tanah Melayu dan kemudiannya menubuhkan Persatuan Wireless Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Penyiaran radio secara profesional bermula apabila Sir Shenton Thomas mengambil inisiatif membuka Studio Perbadanan Penyiaran British dengan menggunakan pemancar di Caldecott Hill, Singapura pada 11 Mac 1937.
Seterusnya, pada 1 April 1946, jabatan penyiaran ditubuhkan di Singapura, manakala kepentingan pembangunan perkhidmatan radio semakin ketara apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Sejak itu, bidang penyiaran di negara ini terus berkembang dengan penubuhan pelbagai stesen radio di seluruh Malaysia, termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Seiring dengan perkembangan pesat stesen penyiaran radio, peranan radio sebagai medium komunikasi utama bagi masyarakat tidak dapat dinafikan. Malah, terdapat sebanyak 33 rangkaian stesen radio berbahasa Melayu di negara kita, tidak termasuk radio dalam talian yang tidak berdaftar yang berpotensi besar memikul tanggungjawab demi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 stesen berada di bawah kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM), 12 stesen dimiliki Astro Radio, manakala dua lagi merupakan radio separa kerajaan. Oleh itu, masyarakat Malaysia tidak seharusnya memberikan alasan untuk tidak mendengar siaran radio berbahasa Melayu kerana pilihan siaran yang tersedia adalah sangat luas.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu turut mengiktiraf radio sebagai medium yang berupaya memainkan peranan tersebut. DBP telah menjalinkan kerjasama strategik dengan RTM, Astro Radio News dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). Sebagai contoh, rancangan Cakna Bahasa yang bersiaran pada setiap hari Khamis, pukul 2.30 petang menerusi BERNAMA Radio merupakan hasil kerjasama DBP dengan BERNAMA. Melalui rancangan ini, pendengar disajikan dengan pelbagai topik yang berkaitan dengan bahasa Melayu, sastera dan program terkini anjuran DBP.
Antara topik menarik yang pernah disiarkan termasuklah “Kamus: Sahabat Setia Pengguna”, “Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Penyiaran” dan “Teori Asal Usul Bahasa”. Kepelbagaian topik ini bukan sahaja bersifat informatif, malah berupaya memberikan panduan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Kerjasama DBP dan BERNAMA Radio melalui segmen Cakna Bahasa merupakan satu langkah berkesan bagi mendidik masyarakat serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Selain itu, radio di negara kita turut memainkan peranan penting bagi menyebarluaskan dialek atau loghat tempatan agar warisan ini terus subur dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Dialek yang berbeza-beza mengikut kawasan, walaupun berada dalam satu negeri yang sama, bukanlah bahasa standard yang digunakan secara meluas terutamanya dalam urusan rasmi. Namun demikian, Radio Kelantan FM dan Radio Kedah FM mempunyai rancangan khas berkaitan dengan dialek tempatan. Sebagai contoh, segmen Kayanya Bahasa Kita terbitan Radio Kelantan FM yang bersiaran setiap hari Rabu pada pukul 8.10 pagi telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pendengar.
Melalui segmen ini, pendengar diperkenalkan dengan kosa kata dalam dialek Kelantan yang semakin jarang digunakan, sekali gus menghidupkan semula kosa kata yang telah lama tidak didengari atau digunakan oleh masyarakat. Segmen ini mulai diperkenalkan pada tahun 2016 dan pada peringkat awalnya bersiaran setiap hari Khamis pada pukul 5.30 petang.
Segmen ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat Kelantan, malah turut memperkenalkan dialek tersebut kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Selain Radio Kelantan FM, Radio Kedah FM juga mempunyai rancangan khas yang mengetengahkan tentang loghat Kedah. Rancangan Loghat Kedah yang ke udara setiap hari Sabtu pada pukul 9.15 pagi menampilkan penulis tersohor Kedah, Puan Amelia Hashim. Melalui rancangan ini, pendengar dapat mengenali pelbagai kosa kata loghat Kedah dan seterusnya memastikan warisan budaya ini terus terpelihara. Kedua-dua rancangan ini juga dilaksanakan dengan kerjasama DBP Wilayah Timur dan DBP Wilayah Utara.
Di samping itu, terdapat juga stesen radio yang menganjurkan kuiz bahasa sebagai pendekatan kreatif bagi memartabatkan bahasa Melayu. Radio Pahang FM dan stesen KLfm, dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah, telah menganjurkan kuiz Indahnya Bahasa. Melalui kuiz ini, pendengar perlu mendengar istilah yang disampaikan oleh penyampai radio melalui kapsul Indahnya Bahasa dan seterusnya menjawab soalan yang dikemukakan. Pemenang kuiz berpeluang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM100 bagi jawapan yang tepat. Pendekatan kuiz secara santai ini berupaya menarik minat masyarakat untuk mempelajari dan menggunakan istilah bahasa Melayu yang betul dan sesuai.
Selain memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, radio juga berperanan melestarikan warisan Melayu yang membuktikan daya fikir dan kreativiti orang Melayu, iaitu pantun. Antara stesen radio yang pernah menganjurkan pertandingan pantun teka-teki termasuklah radio Johor FM dan radio Suria FM. Sebagai contoh, Radio Johor FM dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan telah menganjurkan pertandingan pantun teka-teki sebanyak 40 episod pada tahun 2023. Pendengar perlu menjawab pantun teka-teki yang disiarkan oleh penyampai radio dalam bentuk pantun. Setiap pemenang yang menjawab dengan betul akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50.
Tambahan lagi, peranan radio untuk memartabatkan bahasa Melayu turut dapat dilihat melalui gaya bahasa penyampai radio. Walaupun kerjaya sebagai penyampai radio sering dianggap popular, hakikatnya tanggungjawab yang dipikul agak besar. Penyampai radio bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan, malah berperanan sebagai suri teladan melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pada masa ini, penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa dalam masyarakat. Oleh itu, penyampai radio sebagai golongan yang berpengaruh seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul dan meminimumkan penggunaan bahasa rojak ketika ke udara.
Menurut Profesor Adjung di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Haji Chuari Selamat, penyampai radio bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka mengikut perkembangan semasa. Walau bagaimanapun, penyampai radio tidak boleh mengikut perkembangan tersebut secara membuta tuli sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kesimpulannya, radio sebagai media konvensional masih berupaya menjadi medium yang efektif bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Melalui kandungan rancangan yang berkualiti, pendekatan kreatif seperti kuiz dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat oleh penyampainya, radio mampu memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, capaian radio yang meluas, khususnya dalam kenderaan, membolehkan radio terus memainkan peranan aktif dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.