Diterbitkan pada 12 Januari 2026, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Perlis bakal melakar sejarah baharu dalam pembangunan bahasa dan sastera Melayu apabila Majlis Anugerah Sastera Negeri Perlis akan cuba dilaksanakan pada tahun ini bagi mencerminkan komitmen berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan kesusasteraan tempatan serta mengiktiraf tokoh dan pengkarya yang telah menyumbang secara signifikan terhadap perkembangan bahasa dan budaya Melayu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Keberangkatan tiba DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Projek Pembangunan Masjid Al-Kauthar Kg. Paya, K.M. 8.2 Jalan Kaki Bukit, Beseri.

Seiring dengan itu, DBP turut merancang pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam kalangan penjawat awam. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh jati diri, meningkatkan kecekapan berbahasa serta memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

Perkara tersebut dipersembahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Beliau memaklumkan demikian selepas mengiringi Tuanku Raja Muda Perlis yang mengadakan lawatan ke Projek Pembangunan Masjid Al-Kauthar Kg. Paya, K.M. 8.2 Jalan Kaki Bukit, Beseri hari ini bersempena dengan Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Kerja-kerja akhir bagi projek pembinaan tersebut sedang dilaksanakan dan sasarannya agar masjid ini dapat dibuka untuk kegunaan khalayak bermula sebelum bulan Ramadan yang akan datang.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Yang turut hadir dalam lawatan tersebut termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Pengarah ICU Perlis, YBrs. Puan Maznah Musa dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin turut memaklumkan bahawa beberapa perbincangan strategik telah diadakan termasuklah kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi penganjuran Seminar Pemikiran Yusuf al-Qaradawi, selain penerbitan bersama DBP dan UniSIRAJ yang akan menghasilkan sebuah buku baharu sebagai sumbangan ilmiah dan intelektual.

Selain itu, DBP juga merancang penerbitan “Glosari Dialek Perlis” yang dijadualkan diterbitkan pada tahun ini sebagai usaha pendokumentasian serta memelihara warisan linguistik tempatan.

Turut dibincangkan ialah kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi penganjuran Majlis Ingestifat Ilmi peringkat kebangsaan pada bulan September dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi